Ringkasan AI
- Tiga pam berkapasiti tinggi telah dipasang di persimpangan Bukit Raja, Klang bagi mengawal risiko banjir kilat di kawasan tersebut.
- Langkah segera ini dijangka membantu mengurangkan kejadian banjir kilat seperti yang berlaku berhampiran persimpangan i-City.
- Kerajaan negeri turut mengenal pasti dan akan membaiki parit erong bermasalah yang menjadi punca banjir kilat dan kerosakan jalan raya.
SHAH ALAM: Tiga pam berkapasiti tinggi telah ditempatkan di sekitar persimpangan Bukit Raja, Klang sebagai langkah mengawal risiko banjir kilat yang sering melanda kawasan berkenaan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata langkah segera itu dijangka dapat membantu mengurangkan risiko kejadian sama yang berlaku berdekatan persimpangan i-City.
“Di situ adalah kawasan lembah, air yang berpunca daripada kawasan Hotel Wyndham Acmar terkumpul di hadapan i-City, kita telah siap pasang pam berkenaan pagi tadi dan insya-Allah isu di persimpangan Bukit Raja itu kita dapat selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang ingin tahu usaha dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi isu banjir kilat di jalan-jalan di Selangor.
Dalam pada itu, Izham berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan yang mempunyai parit erong bermasalah yang bukan sahaja menjadi punca banjir kilat malah turut menyebabkan kerosakan jalan raya.
“Ratusan tempat apabila kita buat rondaan selepas hujan kita lihat air bertakung sedangkan parit masih kosong, jadi kita ambil tindakan untuk betulkan parit erong ini, kita akan betulkan,” katanya.
Semalam media melaporkan hujan lebat berterusan lebih sejam menyebabkan laluan di kawasan i-City dan Seksyen 7 di sini, dilanda banjir kilat dan menjejaskan pergerakan kenderaan.
-- BERNAMA