WASHINGTON: ASEAN dan India menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh perkongsian yang terjalin sejak sekian lama, dengan menteri luar kedua-dua pihak membincangkan hala tuju kerjasama dalam perdagangan, kesalinghubungan, keselamatan maritim serta hubungan antara rakyat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pada Persidangan Pasca-Menteri sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-59 di Manila, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa P. Lazaro menekankan perkembangan hubungan ASEAN-India sepanjang 34 tahun lepas.
“Sejak penubuhan hubungan dialog 34 tahun lalu, perkongsian ini terus berkembang dan menjadi antara hubungan luar ASEAN yang penting,” kata Lazaro.
Beliau berkata peningkatan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada 2022 mencerminkan pengiktirafan terhadap cabaran dan aspirasi bersama ASEAN dan India sebagai negara-negara Selatan Global.
Lazaro turut menyatakan beberapa inisiatif kerjasama terkini, termasuk pertukaran pelancongan sempena Tahun Pelancongan ASEAN serta program yang bakal dilaksanakan sempena Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India.
Beliau berkata agenda kerjasama maritim akan memberi tumpuan meluaskan peluang dalam perdagangan, ekonomi biru, pelancongan dan kesalinghubungan menerusi bengkel, program latihan serta usaha pembangunan kapasiti.
Bidang yang terlibat termasuk penerokaan sumber biologi marin, kejuruteraan lautan, tenaga marin dan penguatkuasaan undang-undang maritim.
“Ini mencerminkan ciri perkongsian kita yang bersifat praktikal, berorientasikan rakyat dan berteraskan usaha yang memberikan manfaat kepada kedua-dua rantau,” kata Lazaro.
Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar mengucapkan terima kasih kepada Filipina kerana menjadi tuan rumah mesyuarat itu serta memainkan peranan sebagai penyelaras negara dalam memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif India-ASEAN.
“Dunia kini berdepan keadaan yang amat tidak menentu dan semakin jelas bahawa tiada satu negara atau kumpulan mampu menanganinya secara bersendirian,” kata Jaishankar.
Beliau berkata tekanan yang semakin meningkat terhadap rantaian bekalan global serta keselamatan tenaga, makanan dan kesihatan merupakan antara cabaran utama yang memerlukan penyelarasan antarabangsa lebih erat.
“Keselamatan tenaga, makanan dan kesihatan tidak lagi boleh dianggap terjamin,” kata beliau sambil memberi amaran bahawa kebergantungan terhadap perdagangan maritim menjadikan keselamatan laluan laut semakin penting.
Jaishankar turut menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa, khususnya dalam hal ehwal maritim, ketika ASEAN dan India bersiap sedia menyambut 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India.
“Ia menjadi peringatan tepat pada masanya mengenai usaha yang boleh kita lakukan demi masa depan yang lebih stabil dan selamat,” kata beliau.
Walaupun dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan, Jaishankar berkata India dan ASEAN kekal optimis terhadap masa depan serta perlu memberi tumpuan kepada peluang sambil menangani cabaran bersama.
-- BERNAMA-ANADOLU