Skip to main content

Dunia

ASEAN perlu akui kemajuan Myanmar, kekal berpandukan Konsensus Lima Perkara

Perdana Menteri Anwar berkata, Myanmar sudah mengambil beberapa langkah yang lebih baik daripada jangkaan sebelum ini, sekali gus memerlukan pendekatan lebih terbuka dalam hubungan dan kerjasama dengan negara berkenaan. - Gambar Pejabat Perdana Menteri
Perdana Menteri Anwar berkata, Myanmar sudah mengambil beberapa langkah yang lebih baik daripada jangkaan sebelum ini, sekali gus memerlukan pendekatan lebih terbuka dalam hubungan dan kerjasama dengan negara berkenaan. - Gambar Pejabat Perdana Menteri
Advertisement

MANILA: ASEAN perlu memberi ruang untuk mengiktiraf kemajuan yang dicapai Myanmar, sambil terus berpegang kepada komitmen Konsensus Lima Perkara (5PC) dalam menangani krisis di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Myanmar sudah mengambil beberapa langkah yang lebih baik daripada jangkaan sebelum ini, sekali gus memerlukan pendekatan lebih terbuka dalam hubungan dan kerjasama dengan negara berkenaan.

"Kita bersetuju dengan Konsensus Lima Perkara, walaupun perlu ada sedikit ruang untuk memberikan pengiktirafan kepada Myanmar.

Advertisement

"Kita juga harus mengakui mereka sudah mengambil langkah yang lebih baik daripada apa yang dijangkakan sebelum ini," katanya pada sidang media pada Sidang Kemuncak ASEAN, di sini, pada Isnin.

Anwar berkata, Malaysia menggunakan sesi pertemuan tidak rasmi pemimpin ASEAN pada Ahad lalu untuk menjelaskan pendirian berkenaan, dengan menegaskan 5PC perlu kekal sebagai asas pendekatan blok serantau itu, selain meningkatkan hubungan dengan Myanmar.

Advertisement

Katanya, beberapa negara termasuk Thailand, Vietnam, Laos dan Kemboja sudah mengundang wakil Myanmar untuk mengadakan perbincangan, manakala Indonesia turut menyatakan hasrat melakukan perkara sama.

Malaysia, katanya, sudah mengambil langkah seumpama itu sebelum ini.

"Perkara ini tidak berlaku sebelum ini," katanya. 

Anwar berkata, peningkatan hubungan itu perlu dimanfaatkan bagi mempengaruhi pihak berkuasa Myanmar supaya meredakan ketegangan dalaman serta membuka ruang dialog dengan pelbagai pihak yang terbabit dalam konflik berkenaan.

Beliau turut memuji Kementerian Luar yang menganjurkan pertemuan dengan kumpulan selain wakil kerajaan Myanmar, termasuk pihak yang menentang pentadbiran negara itu.

Katanya, kerajaan Myanmar tidak membantah pendekatan berkenaan walaupun kurang senang dengan penglibatan kumpulan yang menentangnya.

"Setidak-tidaknya mereka tidak membantah pendekatan itu sebagai satu dasar, dan saya fikir ini satu kemajuan dalam hubungan antarabangsa," katanya.

Anwar menegaskan, sebarang pendekatan terhadap Myanmar perlu menjurus kepada dua matlamat utama, iaitu mencapai keamanan dan memulihkan penyertaan penuh negara itu dalam ASEAN.

Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui pada April 2021 susulan rampasan kuasa tentera di Myanmar menggariskan keperluan menghentikan keganasan, mengadakan dialog konstruktif antara semua pihak serta menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Must Watch Video

Advertisement