Skip to main content

Sukan

Sukan SEA 2027: 21 acara Olimpik, terima rayuan hoki asia Indonesia bukti pemilihan acara adil

SUKAN SEA 2027: 21 ACARA OLIMPIK, TERIMA RAYUAN HOKI AIS INDONESIA BUKTI PEMILIHAN ACARA ADIL
SUKAN SEA 2027: 21 ACARA OLIMPIK, TERIMA RAYUAN HOKI AIS INDONESIA BUKTI PEMILIHAN ACARA ADIL
Advertisement

PUTRAJAYA: Dakwaan bahawa senarai acara Sukan SEA 2027 tidak mencerminkan semangat kesukanan adalah tidak berasas, memandangkan 21 daripada 43 sukan yang dipertandingkan ialah acara Sukan Olimpik, selain rayuan Indonesia berhubung sukan hoki ais turut diterima Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, jumlah acara Sukan Olimpik yang disenaraikan bagi temasya dwitahunan itu jauh melebihi syarat minimum yang ditetapkan dalam piagam SEAGF, iaitu sekurang-kurangnya 10 acara.

“Kalau ada pihak yang menyatakan ini sesuatu yang merugikan ASEAN kerana digugurkan acara ataupun olahraga Olimpik, saya ingin menegaskan bahawa dalam piagam SEAGF, sekurang-kurangnya 10 acara Sukan Olimpik mesti dipertandingkan pada Sukan SEA.

Advertisement

“(Timbul persoalan) kenapa tidak diadakan sukan tertentu? Sudah pasti disebabkan oleh kekangan dari segi kewangan, tempat dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri sesi dialog awam bersama peserta MADANI Fellowship, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, SEAGF turut mengambil kira rayuan negara anggota berhubung penyertaan sukan yang menjadi kekuatan masing-masing dalam menentukan senarai acara pada temasya berkenaan.

Advertisement

“Ada sukan-sukan yang didominasi ataupun memang kehebatan Indonesia sebagai contoh, telah pun dirayu kepada Malaysia. Contohnya sukan hoki ais yang diterima oleh SEAGF dan itu ialah acara Sukan Olimpik dan sukan yang dirayu sendiri oleh Indonesia,” katanya.

Menjawab dakwaan bahawa pemilihan sukan dibuat secara unilateral oleh Malaysia selaku tuan rumah, Dr Mohammed Taufiq berkata, keputusan itu dibuat menerusi proses perbincangan dan undian majoriti mudah dalam kalangan anggota Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) yang layak.

Beliau berkata, proses berkenaan melibatkan beberapa siri perbincangan dengan kesemua 11 negara anggota yang diwakili NOC masing-masing.

Mesyuarat pertama SEAGF pada April lepas menyaksikan sebanyak 38 sukan disenaraikan pada peringkat awal sebelum tempoh rayuan dibuka sehingga 8 Mei lepas.

Hasil proses rayuan berkenaan, jumlah sukan yang dipertandingkan meningkat kepada 43 pada mesyuarat kedua SEAGF pada Julai lepas.

Ditanya sama ada acara yang tidak disenaraikan akan dipertimbangkan semula, Dr Mohammed Taufiq berkata, keputusan kekal buat masa ini.

“Tidak… namun sebarang perbincangan dan sebagainya memang saya sentiasa terbuka tetapi setakat hari ini sukan-sukan itu dan jumlah acara sukan kekal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan sukan seharusnya menjadi wadah penyatuan serantau, selaras dengan tema Sukan SEA 2027, iaitu “Meraikan Perpaduan”.

“Jadi, saya rasa ini bukanlah suatu isu yang perlu dibangkitkan. Namun, saya mengambil pandangan dan juga surat itu sebagai sesuatu yang positif dan langkah-langkah seterusnya akan dijalankan sesuai dengan tatacara yang telah pun ditetapkan,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir menyifatkan keputusan tidak mempertandingkan beberapa sukan kegemaran negara itu pada Sukan SEA 2027 sebagai menjejaskan prinsip keadilan dan semangat kesukanan serantau.

Indonesia menghantar surat bertarikh 6 Nov kepada Malaysia bagi menyatakan hasrat supaya beberapa acara tambahan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027. Surat itu diterima oleh Dr Mohammed Taufiq pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement