Ringkasan AI
- Presiden AS Donald Trump menyatakan kemungkinan bertemu pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di China minggu ini semasa lawatan ke Asia Timur.
- Pegawai AS menegaskan tiada rancangan segera untuk pertemuan tersebut, sementara Korea Utara secara terbuka tidak berminat mengadakan pertemuan dengan Trump.
- Trump dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin, dengan isu seperti Ukraine dan percambahan senjata dijangka dibincangkan.
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Isnin bahawa beliau mungkin mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara Kim, Jong Un di China minggu ini, satu perkembangan yang berpotensi mengubah secara ketara agenda lawatan beliau ke Asia Timur sekiranya ia menjadi kenyataan.
Trump, yang pernah bertemu pemimpin Korea Utara itu beberapa kali sepanjang penggal pemerintahannya dari 2017 hingga 2021, termasuk sekali di Zon Demilitarisasi Korea, sebelum ini menyatakan minat untuk mengadakan satu lagi pertemuan pada penggal semasanya.
Bagaimanapun, pegawai kanan AS sebelum ini berkata tiada rancangan segera untuk mengadakan pertemuan berkenaan.
Selain itu, Trump beberapa kali pernah membayangkan kemungkinan pertemuan dengan Kim yang akhirnya tidak menjadi kenyataan, termasuk ketika lawatannya ke Asia tahun lalu.
Korea Utara, yang perwakilannya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak segera memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas, secara terbuka menyatakan bahawa negara itu tidak berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan presiden AS ketika ini.
Trump memberitahu pemberita ketika berlepas dari White House menuju ke Filipina dan China bahawa sebarang pertemuan akan berlangsung di China manakala kehadiran pemimpin Korea Utara itu bergantung sepenuhnya kepada Presiden China, Xi Jinping.
"(Xi) berada di sini sebulan lalu dan kami juga akan bertemu Presiden (Rusia) Putin dan kami mungkin bertemu Kim Jong Un juga," kata Trump.
"Jadi, itu sesuatu yang baik. Kami berpeluang mencapai banyak perkara."
Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau akan bertemu Putin dan Xi sepanjang lawatannya itu, namun pegawai AS serta penganalisis tidak menjangkakan sebarang persetujuan penting dapat dicapai menerusi pertemuan tiga hala berkenaan.
Antara topik perbincangan yang mungkin disentuh, menurut Trump dan pihak lain, termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, usaha mencegah percambahan senjata, serta perang di Iran.
-- REUTERS