JAKARTA: ASEAN perlu beralih daripada rangka kerja kepada keberhasilan serta menyampaikan keputusan yang nyata untuk rakyatnya, kata Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn pada Isnin.
Beliau menekankan keperluan untuk memanfaatkan mekanisme serantau sedia ada secara lebih strategik dan berkesan menjelang ulang tahun ke-60 blok itu pada 2027.
Ketika menyampaikan ucapan utama pada Sidang Kemuncak Kumpulan Pemikir ASEAN Ketiga di sini, Kao berkata, kumpulan pemikir boleh membantu meletakkan asas bagi pembuatan dasar yang lebih baik dengan merumuskan idea dasar yang boleh dilaksanakan dalam bidang utama seperti daya tahan ekonomi, keamanan dan dialog, keterangkuman dalam era digital serta keselamatan rentas sempadan.
Beliau berkata, ASEAN sudah mempunyai sebahagian besar seni bina yang diperlukan untuk memperkukuh daya tahan serantau, sambil memetik Grid Kuasa ASEAN, Saluran Paip Gas Trans-ASEAN, Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana dan Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga.
“Kini, keperluan mendesak adalah beralih daripada rangka kerja kepada keberhasilan: tenaga yang lebih boleh dipercayai, rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, kesiapsiagaan yang lebih tinggi terhadap kejutan luar, serta peluang ekonomi yang lebih kukuh untuk rakyat dan perniagaan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu memerlukan kerjasama rentas sempadan sektoral dan mengenal pasti ruang di mana kerjasama serantau boleh mengurangkan kelemahan serta cabaran yang tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara anggota secara bersendirian.
Mengenai keamanan dan dialog, Kao berkata, blok 11 negara itu mesti terus melabur dalam dialog dan diplomasi sebagai instrumen pilihan utama ketika persaingan geopolitik dan persaingan strategik semakin sengit.
Bagi menangani cabaran berkenaan, beliau berkata, ASEAN sudah mempunyai asas yang kukuh menerusi Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) serta Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik, di samping mekanisme termasuk Forum Serantau ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN yang menyediakan saluran rasmi untuk dialog, pembinaan keyakinan dan kerjasama praktikal.
“Oleh itu, isunya bukan sama ada dialog masih relevan atau tidak, sebaliknya bagaimana ASEAN boleh menggunakan instrumen dan mekanisme yang sedia ada secara lebih strategik dan berkesan.
“Menjelang ulang tahun ke-60 ASEAN pada 2027, ujian terhadap pemusatan ASEAN akan bergantung kepada apa yang boleh dicapai oleh institusinya,” katanya.
Menyentuh mengenai keterangkuman digital, Kao berkata, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi muncul akan membentuk fasa transformasi ekonomi seterusnya bagi rantau ini, namun nilainya bergantung kepada sejauh mana faedahnya dapat dikongsi secara meluas, terutamanya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Beliau turut menekankan keperluan untuk menangani cabaran keselamatan rentas sempadan memandangkan ancaman siber, jenayah rentas sempadan, risiko berkaitan iklim dan penipuan dalam talian semakin bertindih, sekali gus memerlukan ASEAN memperkukuh keupayaannya untuk bertindak balas rentas sektor, beroperasi merentasi sempadan institusi dan berkongsi maklumat.
Bagi kumpulan pemikir pula, beliau berkata, tugas mereka adalah untuk mempersoalkan andaian sedia ada, berdepan dengan kompromi yang sukar serta menguji idea baharu sebelum diangkat ke dalam proses dasar rasmi tatkala ASEAN berusaha mencapai Visi Komuniti ASEAN 2045.
“Pada akhirnya, visi itu akan dinilai berdasarkan pilihan yang dibuat oleh ASEAN secara kolektif dan hasil daripada pilihan berkenaan,” katanya.
Ditubuhkan pada 2024, sidang kemuncak dua hari itu merupakan inisiatif rangkaian Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa ASEAN, diselaraskan oleh Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) dengan sokongan Sekretariat ASEAN.
Perbincangan tahun ini mengambil inspirasi daripada tema Pengerusi ASEAN Filipina, "Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama", dengan sidang kemuncak itu berhasrat merangka cadangan dasar yang boleh dilaksanakan untuk pemimpin ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA