Ringkasan AI
- Perdana Menteri menegaskan ASEAN perlu mengekalkan hubungan konstruktif dan seimbang dengan kuasa besar tanpa mengorbankan prinsip sentraliti, perpaduan dan autonomi strategik.
- Hubungan ASEAN dengan rakan luar mesti berlandaskan prinsip asas Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) yang kini berusia 50 tahun.
- Anwar menekankan kepentingan memastikan kerjasama luar tidak menjejaskan keupayaan ASEAN menentukan hala tuju serta kepentingan rantau ini.
MANILA: ASEAN perlu terus mengekalkan hubungan konstruktif dan seimbang dengan semua kuasa besar dunia tanpa mengorbankan prinsip sentraliti, perpaduan serta autonomi strategik rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan ASEAN dengan rakan luar perlu terus dibina berlandaskan prinsip asas Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Menurut beliau, sempena ulang tahun ke-50 perjanjian itu tahun ini, negara anggota perlu memperkukuh semula komitmen terhadap prinsip teras yang menjadi asas hubungan dan kerjasama serantau.
Anwar berkata pematuhan terhadap prinsip tersebut penting bagi memastikan hubungan dengan rakan luar terus berkembang tanpa menjejaskan kepentingan dan kedudukan ASEAN.
"Dengan menghendaki rakan-rakan kita mematuhi prinsip asas perjanjian ini, kita memastikan hubungan yang dibina terus berlandaskan terma ASEAN, sekali gus melindungi rantau ini sebagai platform kerjasama, bukannya gelanggang persaingan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, di sini, pada Ahad.
Anwar berkata, ASEAN perlu terus menjalin hubungan dengan semua kuasa utama dunia secara konstruktif dan seimbang.
Menurut beliau, prinsip sentraliti, perpaduan dan autonomi strategik ASEAN perlu terus dipertahankan kerana ia menjadi asas kepada kestabilan serta kedudukan rantau ini dalam hubungan antarabangsa.
Beliau turut menegaskan ASEAN perlu memastikan kerjasama dengan rakan luar tidak menjejaskan keupayaan rantau ini menentukan hala tuju serta kepentingannya sendiri.