MANILA: Malaysia mengemukakan cadangan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan menerusi kerangka Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Rantau (MSC) bagi memperkukuh kerjasama ASEAN dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua cadangan itu bertujuan meningkatkan kerjasama saintifik, memperkukuh proses membuat keputusan berasaskan bukti serta memastikan sokongan kewangan lebih mampan bagi pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).
Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan tindakan menangani pencemaran jerebu dapat dilaksanakan secara lebih tersusun menerusi kerjasama negara anggota.
"Malaysia, menerusi kerangka MSC, sudah memajukan cadangan mengenai Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan.
"Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik, meningkatkan pembuatan keputusan berasaskan bukti serta memastikan sokongan kewangan lebih mampan bagi pelaksanaan AATHP," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia berharap keutamaan berkenaan dapat terus dimajukan menerusi Persidangan Negara-Negara Pihak kepada AATHP yang dijadual berlangsung pada Disember ini.
Malaysia juga akan meneruskan usaha tersebut menerusi kepengerusian MSC pada 2027.
Dalam pada itu, beliau menegaskan ASEAN mempunyai tanggungjawab memperkukuh tadbir urus serantau, memastikan penggunaan sumber biodiversiti secara mampan dan saksama serta melindunginya daripada eksploitasi dan penyalahgunaan pihak luar.
Katanya, perlindungan biodiversiti bukan sekadar keperluan alam sekitar, malah turut berkait rapat dengan kedaulatan serantau.