Skip to main content

Dunia

ASEAN perlu perkukuh keupayaan teknologi sendiri, lindungi kedaulatan data - PM Anwar

Anwar (foto) berpandangan pembangunan dan tadbir urus AI di rantau ini tidak seharusnya ditentukan semata-mata kepentingan komersial beberapa syarikat teknologi global. -Gambar PMO
Anwar (foto) berpandangan pembangunan dan tadbir urus AI di rantau ini tidak seharusnya ditentukan semata-mata kepentingan komersial beberapa syarikat teknologi global. -Gambar PMO
Advertisement

MANILA: ASEAN tidak boleh bergantung kepada segelintir syarikat teknologi global dalam menentukan hala tuju pembangunan kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu membina keupayaan teknologi sendiri serta memperkukuh perlindungan kedaulatan data.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan dan tadbir urus AI di rantau ini tidak seharusnya ditentukan semata-mata oleh kepentingan komersial beberapa syarikat teknologi global.

Menurut beliau, negara anggota ASEAN perlu memperkukuh keupayaan teknologi secara kolektif selain memastikan pembangunan AI dilaksanakan menerusi kerangka tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

Advertisement

"Merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 memerlukan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh dan berkesan.

"Namun, ketika AI semakin mempengaruhi landskap ekonomi dan keselamatan global, pembangunan serta tadbir urus teknologi itu tidak seharusnya ditentukan kepentingan komersial segelintir syarikat teknologi global.

Advertisement

"Sehubungan itu, kita perlu memperkukuh keupayaan teknologi secara kolektif, melindungi kedaulatan data serta mewujudkan kerangka tadbir urus yang mantap bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar menyambut baik pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang disasarkan meningkatkan nilai ekonomi digital rantau ini kepada AS$2 trilion (kira-kira RM8.2 trilion) menjelang 2030.

Katanya, kerjasama berkenaan perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan digital ASEAN, termasuk memastikan negara anggota mempunyai peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju pembangunan teknologi di rantau ini.

Must Watch Video

Advertisement