KUALA LUMPUR: ASEAN dan Rusia pada Khamis menerima pakai Deklarasi Kazan, yang menegaskan semula sokongan terhadap Kepusatan ASEAN dan orde antarabangsa berasaskan peraturan, selain berikrar untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, ekonomi dan teknologi.
Deklarasi itu, yang diterima pakai selepas Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan berakhir, menetapkan visi bersama ke arah masa depan yang aman dan stabil serta menggariskan komitmen kedua-dua pihak terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
“Dalam bidang keselamatan, perhatian khusus diberikan kepada kerjasama maritim, perlindungan infrastruktur bawah air, biosekuriti dan usaha memerangi jenayah siber. Bahagian ekonomi pula merangkumi kerjasama dalam sektor tenaga, pertanian, pendigitalan dan kecerdasan buatan.
“Perkongsian dengan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) turut dipersetujui,” lapor TV BRICS.
Dalam usaha memperkukuh lagi perkongsian itu, ASEAN dan Rusia turut menerima pakai kenyataan bersama mengenai tenaga dan kebudayaan, di samping Pelan Tindakan Komprehensif baharu bagi Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Persekutuan Rusia untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Kenyataan mengenai tenaga itu memformalkan kerjasama dalam sektor minyak dan gas, tenaga boleh diperbaharui, hidrogen serta tenaga nuklear termasuk reaktor modular kecil, di samping komitmen kedua-dua pihak untuk meningkatkan kesalinghubungan, infrastruktur dan hubungan keinstitusian.
Sementara itu, dokumen kerjasama kebudayaan menggalakkan dialog antara budaya, kerjasama dalam bidang sinematografi dan aktiviti muzium, serta pendigitalan warisan budaya.
Pelan Tindakan Komprehensif itu akan berfungsi sebagai pelan hala tuju bagi melaksanakan keputusan dan inisiatif yang dipersetujui di bawah perkongsian strategik berkenaan.
Dalam kenyataan yang merumuskan hasil sidang kemuncak itu, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata mesyuarat berkenaan berlangsung dalam suasana mesra dan profesional.
“Semasa sidang kemuncak ini, banyak idea membina dan cadangan praktikal yang bermanfaat dikemukakan berhubung pengukuhan perkongsian dalam bidang ekonomi.
“Para peserta menyatakan sokongan terhadap pertumbuhan perdagangan dua hala dari segi kualitatif dan kuantitatif, penambahbaikan strukturnya serta peluasan pelaburan timbal balik,” katanya.
Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia berlangsung pada 17 dan 18 Jun sempena ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia.
Sidang kemuncak itu dipengerusikan bersama oleh Putin dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr., yang negaranya merupakan Pengerusi ASEAN pada 2026.
-- BERNAMA