DUNIA
ASEAN teliti perincian teknikal libatkan kuasa besar dalam Protokol SEANWFZ

ASEAN terus memainkan peranan sebagai platform diplomatik utama untuk menggalakkan penyertaan kuasa besar dalam rejim senjata nuklear yang lebih selamat dan terkawal. - Bernama
KUALA LUMPUR: ASEAN kini menilai secara teknikal penyertaan negara kuasa besar dalam Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) termasuk kemungkinan mereka meletakkan reservasi terhadap komitmen perjanjian itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata langkah itu mencerminkan usaha berterusan ASEAN untuk memperkukuh komitmen global terhadap prinsip ketidakcambahan senjata dan menjadikan Asia Tenggara sebagai kawasan bebas senjata nuklear sepenuhnya.
"Perkara ini sedang diperhalusi oleh Suruhanjaya SEANWFZ melalui perbincangan yang telah dijalankan di peringkat Pegawai-Pegawai Kanan dan Jawatankuasa Eksekutif.
"Isu utama ialah penyertaan negara kuasa besar bergantung kepada sama ada mereka boleh membuat reservasi terhadap protokol tersebut," katanya semasa sesi taklimat media Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini pada Ahad.Beliau berkata ASEAN terus memainkan peranan sebagai platform diplomatik utama untuk menggalakkan penyertaan kuasa besar dalam rejim senjata nuklear yang lebih selamat dan terkawal.
"Memang menjadi tempat di peringkat ASEAN untuk memberi ruang kepada negara-negara kuasa besar dunia agar menyertai Protokol SEANWFZ dan menjadi sebahagian daripada kumpulan SEANWFZ itu sendiri," katanya.
Amran juga berkata ASEAN komited terhadap prinsip ketidakcambahan senjata nuklear dan rundingan yang sedang berlangsung diharap dapat membuka jalan kepada penyertaan tanpa menjejaskan nilai asas perjanjian.
"Beberapa keputusan penting telah pun dicapai sebelum ini mengenai sama ada penyertaan boleh dibuat dengan atau tanpa reservasi.
"Kita juga menerima indikasi bahawa kemajuan boleh dicapai walaupun ia mengambil masa yang agak lama," katanya.
China dan Rusia dilaporkan bersetuju menandatangani Protokol SEANWFZ manakala Amerika Syarikat (AS) masih dalam proses semakan sebelum membuat keputusan.
Protokol itu digubal bagi mempelawa lima kuasa nuklear iaitu China, Rusia, Perancis, United Kingdom dan AS menyertai usaha merealisasikan Asia Tenggara sebagai rantau yang bebas senjata nuklear.
SEANWFZ, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada Disember 1995 di ibu kota Thailand oleh 10 negara anggota ASEAN dan berkuat kuasa pada Mac 1997.
Di bawah protokol itu, setiap Negara Senjata Nuklear (NWS) perlu menghormati SEANWFZ serta tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang merupakan pelanggaran kepada perjanjian dan protokolnya; tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak selain tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.
Malaysia akan menganjurkan AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai ini.
Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Laos pada 1 Jan 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' yang mencerminkan aspirasi negara untuk membina ASEAN yang bersatu serta makmur.
Ini adalah kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami