SYDNEY: Seorang anggota tentera Australia maut manakala lima lagi cedera ketika menjalani latihan ketenteraan di Wilayah Utara (Northern Territory), menurut Jabatan Pertahanan Australia pada Selasa.
Jabatan itu mengesahkan insiden berkenaan berlaku pada Isnin di kawasan latihan Mount Bundey, kira-kira 130 kilometer di tenggara Darwin, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kejadian tersebut.
Pihak berkuasa meminta supaya privasi keluarga mangsa dan anggota yang terlibat dihormati sementara siasatan dijalankan.
Ketua Menteri Wilayah Utara, Lia Finocchiaro, berkata lima anggota yang cedera telah diterbangkan ke hospital pada malam Isnin.
Menurutnya, dua mangsa dibawa dengan helikopter ke Hospital Diraja Darwin kira-kira jam 7.30 malam, manakala tiga lagi dihantar menggunakan pesawat sekitar dua jam kemudian.
"Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang pastinya amat terkesan dengan kehilangan ini. Seluruh komuniti turut bersama anggota perkhidmatan yang merasai kehilangan tersebut," katanya.
Pesuruhjaya Polis Wilayah Utara, Martin Dole, berkata pihaknya membantu siasatan yang dikendalikan Jabatan Pertahanan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Kami tidak boleh mengulas mengenai punca kecederaan anggota terbabit, namun kami membantu siasatan bagi pihak koroner," katanya.
Kejadian itu merupakan kematian kedua melibatkan anggota tentera Australia semasa latihan pada tahun ini.
Pada Mei lalu, seorang anggota Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS), Lachlan Muddle, maut selepas terjatuh susulan pelanggaran di udara dengan seorang lagi anggota payung terjun ketika latihan di lapangan terbang Jervis Bay, New South Wales.
Kawasan latihan Mount Bundey juga pernah menjadi lokasi kemalangan maut pada 2017 apabila seorang anggota tentera, Jason Challis, terbunuh selepas terkena tembakan di kepala ketika latihan.
Siasatan koroner kemudian menyifatkan latihan berkenaan sebagai tidak teratur dan kematiannya boleh dielakkan.