Atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) Amerika Syarikat yang disyaki terlibat dalam dua kes pembunuhan berjaya ditahan semula selepas melarikan diri.

Polis menahan semula Cedric Marks, 44 tahun, beberapa jam selepas memboloskan diri dalam perjalanan ke mahkamah semasa van penjara yang membawanya itu berhenti seketika di sebuah restoran makanan segera di Conroe, berdekatan dengan Houstan.

Marks dituduh membunuh bekas teman wanitanya Jenna Scott dan rakannya Michael Swearingin selepas mayat kedua-dua mereka ditemui pada 15 Januari 2019, lapor Associated Press.

Dia ditahan polis bulan lepas kerana disyaki memecah masuk rumah Scott pada 21 August 2018.

Dalam perjalanan ke mahkamah di Temple, Texas bagi menghadapi tuduhan membunuh itu, Marks berjaya meloloskan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah, Jeff Christy, tangan dan kaki Marks digari ketika berada di dalam van penjara yang turut membawa bersama dua pengawal dan 10 tahanan lain.

Polis masih tidak tahu bagaimana Marks berjaya membuka gari tersebut, lapor KPRC-TV.

Usaha memburu Marks, yang disertai unit anjing pengesan, terus dilancarkan dan dia berjaya ditahan semula sembilan jam kemudian.

"Dia telah menyerah diri kepada polis yang menemuinya sedang sembunyi di dalam sebuah tong sampah.

"Dia kelihatan sangat letih," jelas Christy.

Marks, atau lebih dikenali sebagai Spider-Man, telah terlibat dalam sukan MMA hampir 20 tahun.

Beberapa hari sebelum bekas teman wanitanya dilaporkan hilang, Scott telah memohon perintah larangan terhadap Marks dan mendakwa telah dicekik oleh tertuduh sehingga pengsan sebanyak dua kali.

Menurut laporan KCEN, Marks menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan Scott sebagai penipu.

Namun Marks mempunyai rekod jenayah lampau dan juga disyaki terlibat dalam kes kehilangan April Pease, ibu kepada salah seorang daripada anaknya, yang dilaporkan hilang pada 2009.