Skip to main content

Malaysia

UIAM anjur Persidangan Antarabangsa Fiqh Islam Ke-7, rintis pendekatan berasaskan maqasid terhadap AI

Ahmad Fauwaz  merasmikan majlis pembukaan Persidangan Antarabangsa Fiqh Islam Ke-7 (ICIJ 2026) di Dewan Senat, UIAM Gombak, 10 Nov 2026. - Foto UIAM
Ahmad Fauwaz merasmikan majlis pembukaan Persidangan Antarabangsa Fiqh Islam Ke-7 (ICIJ 2026) di Dewan Senat, UIAM Gombak, 10 Nov 2026. - Foto UIAM
Advertisement

GOMBAK: Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menganjurkan Persidangan Antarabangsa Fiqh Islam Ke-7 (ICIJ 2026) pada 10 dan 11 Nov lalu di Dewan Senat, UIAM Gombak.

Persidangan yang diadakan secara hibrid dengan tema 'Kecerdasan Buatan menurut Maqasid al-Shariah: Isu Kontemporari dan Prospek Masa Depan' itu menghimpunkan para sarjana, mufti, ahli perundangan, pakar teknologi dan penyelidik dari 31 buah negara.  

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil, yang turut menyampaikan ucapan perasmian. Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar turut menyerikan majlis dengan menyertai sesi gimik perasmian.

Advertisement

Majlis pembukaan turut menyaksikan ucapan oleh Dekan AHAS KIRKHS Prof Dr Hafiz Zakariya, Pengerusi ICIJ 2026 Prof. Madya Dr Sayyed Mohamed Muhsin, serta wakil institusi kolaborasi dari Kesultanan Oman dan Institut Pengajian Islam Pergas (IPIP), Singapura.

ICIJ 2026 merupakan edisi ketujuh siri persidangan yang dianjurkan oleh jabatan berkenaan sejak tahun 2006.

Advertisement

Edisi kali ini mengupas satu persoalan penting pada masa kini, iaitu bagaimana fiqh wajar menanggapi kecerdasan buatan (AI) yang kini menjangkau bidang-bidang utama seperti fatwa, kewangan Islam, kehakiman dan pendidikan.

Sepanjang dua hari persidangan, sebanyak 158 kertas kerja telah dibentangkan, iaitu 71 secara bersemuka dan 87 secara dalam talian, menerusi 21 sesi selari dalam bahasa Arab, Inggeris dan Melayu. Kertas-kertas kerja tersebut merangkumi 14 subtema, daripada pensijilan halal dan kewangan sosial Islam hinggalah bioetika serta pembaharuan metodologi usul al-fiqh.

Program ilmiah ini diterajui oleh lima ucaptama yang disampaikan oleh Prof Dr Ali Muhyiddin al-Qaradaghi dari Qatar, Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia; Dr Abdullah Ahmad al-Suleimi, Setiausaha Fatwa, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Kesultanan Oman; Prof Dr Luqman Zakariyah dari Universiti Abuja, Nigeria; Prof Dr Akram M Zeki dari Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UIAM; dan Dr Akhtarzaite Abdul Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Maybank Islamic Berhad.

Ucaptama tersebut merangkumi pelbagai isu, antaranya pendekatan holistik Islam terhadap inovasi teknologi, personaliti undang-undang AI, penggunaan robot dalam keadilan jenayah Islam, tadbir urus AI serta peranan AI dalam membuat keputusan Syariah bagi urusan kewangan Islam.

Pada majlis penutup, Sayyed membentangkan resolusi persidangan yang disusun di bawah lima bidang tematik.

Antara lain, resolusi tersebut menegaskan bahawa AI mesti kekal sebagai alat yang berkhidmat kepada martabat insan dan tidak sekali-kali mengatasi kecerdasan semula jadi manusia; bahawa ijtihad dan pengeluaran fatwa kekal sebagai tanggungjawab ulama yang berkelayakan; serta bahawa tanggungjawab undang-undang ke atas AI terletak pada manusia.

Persidangan turut mengesyorkan agar UIAM menerajui pembangunan satu kerangka yang komprehensif dan standard bagi penggunaan AI secara bertanggungjawab, berpandukan Epistemologi Tauhidik dan Maqasid al-Shariah.

"Sains dan teknologi tidak sepatutnya sama sekali mendahului martabat insan. Sebagaimana makhluk tidak dapat mengatasi Penciptanya, begitu jugalah ciptaan manusia tidak sepatutnya dibenarkan mengatasi penciptanya," kata Sayyed.

Majlis tersebut turut meraikan kecemerlangan akademik menerusi penyampaian Anugerah Kertas Kerja Terbaik oleh Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof Datuk Dr Ahmad Faris Ismail.

Berdasarkan penilaian secara tertutup ke atas kertas kerja yang dibentangkan secara bersemuka, tiga kertas kerja telah diiktiraf secara sama rata, iaitu hasil karya Dr Iman Mohammed Abdullah Al-Qathami, Dr Nesreen Omar Hajji Oglu dan Dr Aliyu Alhaji Rabiu.

Ahmad Faris kemudiannya menyampaikan ucapan penutup, sekali gus menutup persidangan secara rasmi.

Dengan sokongan penaja utama, Maybank Islamic Berhad, empat institusi kolaborasi dan lapan rakan institusi dari Malaysia, India dan Sepanyol, ICIJ 2026 menegaskan komitmen UIAM terhadap Epistemologi Tauhidik dan Kecemerlangan Ummah, di samping meletakkan universiti sebagai rujukan dalam menyediakan panduan yang beretika dan berteraskan Syariah terhadap teknologi baharu, demi kesejahteraan Ummah dan manusia sejagat.
 

Must Watch Video

Advertisement