Skip to main content

Malaysia

SHMMP Deepavali 2026: Tiada kes menjual melebihi harga maksimum - KPDN

KPDN merakamkan penghargaan kepada semua pihak sepanjang pelaksanaan SHMMP tahun ini sehingga membolehkan tiada kes direkodkan bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum.
KPDN merakamkan penghargaan kepada semua pihak sepanjang pelaksanaan SHMMP tahun ini sehingga membolehkan tiada kes direkodkan bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan sifar kes menjual melebihi harga maksimum sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 dari 4 hingga 10 Nov.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan tahap pematuhan peniaga berbanding pelaksanaan skim sama pada tahun lepas yang merekodkan enam kesalahan menjual melebihi harga kawalan.

“Bagi tahun ini, KPDN tidak menerima sebarang aduan sepanjang pelaksanaan skim yang menjadi perkembangan positif berbanding satu aduan pada peringkat runcit diterima pada tahun lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Azman berkata secara keseluruhan, tindakan kes yang diambil KPDN sepanjang pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 meningkat kepada 482 kes berbanding 445 kes pada tahun lepas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 481 kes melibatkan sektor runcit dan satu kes sektor borong berbanding 444 kes runcit dan satu kes borong pada tahun lepas,” katanya.

Advertisement

Azman berkata nilai kompaun direkodkan tahun ini menurun kepada RM50,800 berbanding RM53,500 pada 2025 selain nilai sitaan juga berkurangan kepada RM14,045 daripada RM16,078 pada tahun sebelumnya.

 

 

Beliau berkata majoriti kesalahan dikesan melibatkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga khas merah jambu dengan 481 kes direkodkan tahun ini berbanding 433 kes pada 2025.

Bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga, kes menunjukkan penurunan ketara kepada satu kes berbanding enam kes pada tahun lepas.

“KPDN merakamkan penghargaan kepada semua pihak sepanjang pelaksanaan SHMMP tahun ini sehingga membolehkan tiada kes direkodkan bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement