Australia aktifkan bantuan bencana untuk New South Wales yang dilanda kebakaran hutan

Anggota bomba bertugas di lokasi kebakaran hutan yang memusnahkan kediaman di sepanjang Glenrock Parade, Koolewong, di Pantai Tengah New South Wales, Australia. - Foto REUTERS
SYDNEY: Kerajaan Australia telah mengaktifkan pelan bantuan bencana bagi membantu penduduk yang terjejas akibat kebakaran hutan besar-besaran yang sedang melanda negeri New South Wales (NSW), dengan lebih 60 kebakaran aktif dilaporkan setakat ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Australia mengaktifkan pelan bantuan bencana bagi penduduk yang terjejas akibat kebakaran hutan besar-besaran di New South Wales, dengan lebih 60 kebakaran aktif dilaporkan, termasuk pemusnahan 16 kediaman.
- Penduduk beberapa kawasan diletakkan di tahap amaran "Watch and Act"; disebabkan risiko tinggi terhadap keselamatan dan harta benda.
- Agensi Meteorologi Australia meramalkan musim kebakaran yang berpotensi teruk disebabkan oleh fenomena El Nino dan perubahan iklim global, memerlukan kerjasama kerajaan untuk menilai kerosakan, menyediakan bantuan kecemasan, dan tempat perlindungan sementara.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, telah menerima taklimat penuh mengenai situasi semasa dan menyatakan komitmen kerajaan persekutuan untuk menyediakan bantuan kewangan segera, termasuk bayaran pemulihan bencana dan elaun khas kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal atau mata pencarian.
Ketua Menteri NSW, Chris Minns, turut mengucapkan terima kasih kepada lebih 1,500 anggota bomba dan sukarelawan yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan melindungi komuniti yang terjejas.
Beliau menyifatkan keadaan sebagai “sangat mencabar” dan menyeru penduduk agar mematuhi arahan pemindahan serta tidak mengambil risiko yang tidak perlu.
Menurut pihak berkuasa, ribuan hektar tanah telah musnah, termasuk kawasan hutan simpan dan ladang ternakan.
Keadaan dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari akan datang berikutan ramalan cuaca yang menunjukkan suhu tinggi dan angin kencang berterusan.
Agensi Meteorologi Australia turut memberi amaran bahawa musim kebakaran tahun ini berpotensi menjadi antara yang paling teruk dalam sejarah, dipengaruhi oleh fenomena El Niño dan perubahan iklim global yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa.
Kerajaan negeri dan persekutuan kini bekerjasama rapat untuk menilai kerosakan, menyalurkan bantuan kecemasan, dan menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
Perkhidmatan Australia juga telah membuka talian khas dan portal dalam talian untuk permohonan bantuan bencana bagi penduduk yang layak.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pemindahan kecemasan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


