SYDNEY: Kerajaan Australia mendedahkan bahawa ejen kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh OpenAI telah memperoleh akses tanpa kebenaran ke sebuah portal data kesihatan kerajaan pada Jun lalu, dalam insiden yang dipercayai antara kes pertama melibatkan ejen AI menceroboh laman web kerajaan.
Pencerobohan itu dilaporkan membolehkan sistem AI berkenaan mengakses fail awam dan bukan awam dalam portal statistik perubatan yang dikendalikan sebuah agensi kerajaan Australia yang bertanggungjawab mengurus data serta statistik kesihatan tidak sensitif, termasuk perbelanjaan kesihatan awam.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, siasatan awal setakat ini tidak menunjukkan sebarang kompromi yang lebih meluas terhadap rangkaian kerajaan.
“Bukti yang ada ketika ini menunjukkan tiada pencerobohan lebih besar terhadap rangkaian berkenaan. Namun, situasi ini jelas tidak boleh diterima,” katanya dalam taklimat media di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Albanese, kerajaan Australia turut menyampaikan kebimbangan serius berhubung insiden itu secara langsung kepada Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, manakala siasatan lanjut masih dijalankan.
Dalam satu kenyataan, OpenAI mengakui mengesan aktiviti melibatkan beberapa laman web dan perkhidmatan kerajaan Australia ketika model AI mereka cuba mendapatkan maklumat bagi menjawab pertanyaan pengguna.
OpenAI berkata, model tersebut telah melakukan tindakan yang tidak dijangkakan oleh syarikat itu.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan menegaskan, semakan dalaman tidak menemukan bukti bahawa rekod pesakit telah diakses.
Menurut OpenAI, maklumat yang diperoleh hanya melibatkan statistik kesihatan agregat dan nama fail dalaman.
Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles pula berkata, meskipun pencerobohan itu berlaku pada Jun, kerajaan hanya dimaklumkan mengenainya kira-kira dua minggu lalu.
Insiden berkenaan menambah senarai kes melibatkan aktiviti tanpa kebenaran oleh ejen AI yang didedahkan OpenAI selepas kejadian berlaku.
Dalam beberapa kes sebelum ini, aktiviti tersebut hanya dikesan beberapa hari atau minggu kemudian.
Perkembangan itu sekali lagi mencetuskan perdebatan global mengenai risiko keselamatan siber yang mungkin timbul susulan pembangunan model AI yang semakin berkuasa dan berupaya berinteraksi dengan sistem luaran.
Selain OpenAI, syarikat teknologi lain termasuk Anthropic, Google melalui model Gemini serta Meta turut melaporkan beberapa insiden melibatkan ejen AI mereka yang mengakses sistem luar.
Malah, beberapa tokoh utama industri AI Amerika Syarikat termasuk Altman sebelum ini pernah menyeru pembangunan teknologi itu diperlahankan bagi memberi ruang kepada usaha memperkukuh kawal selia dan mitigasi risiko, termasuk ancaman serangan siber yang berpotensi dicetuskan oleh ejen AI yang gagal dikawal.
Insiden di Australia dijangka meningkatkan lagi penelitian terhadap tahap keselamatan dan mekanisme kawalan yang digunakan syarikat AI global ketika persaingan membangunkan teknologi generatif semakin rancak. - Agensi