KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) mahu mempertahankan kesemua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing berkata pihaknya yakin dengan kesiapsiagaan jentera serta komitmen seluruh kepimpinan dan ahli dapat memastikan kesemua lapan kerusi berkenaan terus kekal di bawah parti berkenaan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Sebagai presiden parti, saya ingin menegaskan bahawa kami mahu mengekalkan kesemua lapan kerusi yang dimiliki PDP ketika ini. Saya yakin dengan kebijaksanaan dan kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus memelihara keharmonian dalam GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 Gabungan Parti Sarawak di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Tiong berkata beliau belum mengemukakan senarai calon PDP, meskipun timbul dakwaan kononnya senarai berkenaan telah diserahkan kepada kepimpinan GPS.
Beliau berkata senarai calon parti berkenaan akan dikemukakan kepada Abang Johari yang juga Pengerusi GPS selewat-lewatnya esok, mengambil kira pandangan kepimpinan gabungan berhubung kriteria pemilihan calon, termasuk faktor usia.
Sebanyak lima daripada lapan kerusi PDP ketika ini, iaitu Tasik Biru, Meluan, Krian, Marudi dan Dudong dimenangi parti berkenaan pada PRN Sarawak ke-12 manakala bakinya, iaitu Bawang Assan, Engkilili dan Ba'kelalan diperoleh susulan pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) serta penyerapan ahlinya secara blok ke dalam PDP.
Abang Johari dilaporkan berkata senarai penuh 82 calon gabungan itu bagi PRN Sarawak akan diumumkan pada 25 Nov.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-13 pada 12 Dis manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 28 Nov dan pengundian awal 8 Dis.
-- BERNAMA