Skip to main content

Dunia

Australia siasat insiden kedua pesawat nyaris bertembung di Sydney dalam tempoh dua minggu

71716735700_AQatarairwaysplan.jpg
Insiden terbaharu berlaku pada Ahad apabila sebuah pesawat Jetstar dan Boeing 777 milik Qatar Airways berada terlalu hampir ketika bergerak di landasan. - Gambar fail
Advertisement

SYDNEY: Australia menggantung tugas seorang pengawal trafik udara dan seorang kakitangan darat yang terlibat dalam insiden pesawat hampir bertembung di Lapangan Terbang Sydney, kejadian kedua seumpamanya dalam tempoh kurang dua minggu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Insiden terbaharu berlaku pada Ahad apabila sebuah pesawat Jetstar dan Boeing 777 milik Qatar Airways berada terlalu hampir ketika bergerak di landasan.

Juruterbang Jetstar terpaksa menekan brek secara mengejut bagi mengelakkan perlanggaran. Seorang anak kapal cedera dalam kejadian itu, namun tiada penumpang dilaporkan terjejas, menurut penyiar ABC.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) telah membuka siasatan berhubung kejadian.

Ketua ATSB Angus Mitchell berkata insiden berkenaan berlaku pada kelajuan rendah tetapi boleh membawa akibat serius, menurut laporan Sydney Morning Herald pada Isnin.

Ketua penyedia perkhidmatan pengurusan trafik udara milik kerajaan, Airservices Australia, Rob Sharp turut dipanggil memberi penjelasan kepada Menteri Pengangkutan Catherine King.

Kejadian berlaku ketika trafik udara semakin meningkat dan Australia berdepan kekurangan pengawal trafik udara.

Kekurangan kakitangan menyebabkan jumlah pelepasan dan pendaratan pesawat terpaksa dikurangkan pada waktu tertentu bagi memastikan operasi kekal selamat, sekali gus mengakibatkan kelewatan.

Premier New South Wales Chris Minns memberi amaran bahawa masalah berkenaan boleh menjejaskan reputasi Sydney sebagai hab perniagaan dan pelancongan, namun menegaskan keselamatan perlu diutamakan berbanding kekecewaan penumpang.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement