ISTANBUL: Austria menolak permohonan Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan ruang udaranya bagi operasi ketenteraan terhadap Iran, dengan alasan ia mengamalkan undang-undang berkecuali, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan pada Khamis mengesahkan terdapat "beberapa" permintaan daripada Washington, namun tidak menyatakan jumlahnya, lapor penyiar awam Austria, ORF.
Advertisement
Jurucakap itu menambah bahawa setiap kes akan dinilai secara individu dengan penyelarasan bersama Kementerian Luar Austria.
Austria yang mengekalkan dasar berkecuali dalam ketenteraan sejak sekian lama, tidak mengenakan larangan menyeluruh terhadap penerbangan AS, sebaliknya menyemak setiap permohonan mengikut kes, menurut kementerian berkenaan.
Awal minggu ini, Sepanyol dilaporkan telah menutup ruang udaranya kepada penerbangan ketenteraan yang berkaitan dengan konflik itu, manakala Itali menolak permintaan pesawat AS untuk mendarat di sebuah pangkalan di Sicily.
AS dan Israel telah mengekalkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. Konflik itu turut menyebabkan kematian dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global serta penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU