KUALA LUMPUR: Hantaran ringkas “Alhamdulillah” oleh beberapa pemimpin UMNO di media sosial hari ini mencetuskan pelbagai tanda tanya ketika perhatian umum tertumpu kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dilaporkan mempertimbangkan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, memuat naik perkataan 'Alhamdulillah' menerusi akaun Facebook rasminya tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Tidak lama selepas itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii serta Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, turut memuat naik hantaran dengan ungkapan sama, sekali gus mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan pengguna media sosial.
Ketiga-tiga hantaran itu muncul ketika Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengadakan mesyuarat khas hari ini, yang permohonan pengampunan Najib dipercayai menjadi agenda utama perbincangan.
Perkembangan itu pantas menarik perhatian pemerhati politik dan penyokong bekas perdana menteri berkenaan, yang mengaitkan hantaran tersebut dengan kemungkinan wujud perkembangan berkaitan permohonan pengampunan berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Asyraf mahupun Mohd Razlan atau Shamsul Anuar bagi menjelaskan maksud sebenar hantaran mereka.
Pada 11 September lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong menangguhkan pertimbangan terhadap permohonan pengampunan Najib ke mesyuarat akan datang.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Najib sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Bagaimanapun, pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sehingga kini, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai keputusan mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berlangsung hari ini.