Skip to main content

Malaysia

Representasi ditolak, bicara kes Zamri Vinoth bermula April tahun depan

Kuala Lumpur , 17 Mac 2026. Pendakwah bebas, Zamri Vinoth diiringgi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah.Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menuduh empat individu yang didakwa terbabit dalam kejadian mencetuskan provokasi dan memainkan sentimen perkauman serta agama sejak kebelakangan ini.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Pada 17 Mac lepas, Zamri didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam di akaun Facebook miliknya "Zamri Vinoth", pada 12.22 tengah hari, 3 Feb lepas. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam berkaitan penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Februari lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memaklumkan perkara itu ketika prosiding kes di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan, hari ini.

"Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi dan pihak kami ingin memaklumkan bahawa representasi telah ditolak," katanya.

Peguam Nur Shafiqah Shafiyah Omar yang mewakili Zamri Vinoth kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan, manakala Nur Farhana memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil enam hingga tujuh saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 dan 22 April tahun depan untuk perbicaraan kes itu.

Pada 17 Mac lepas, Zamri Vinoth atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, 42, didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di akaun Facebook miliknya "Zamri Vinoth", pada 12.22 tengah hari, 3 Feb lepas.

Kenyataan itu kemudian dilihat dan didengar oleh seorang lelaki berusia 45 tahun di Restoran Nasi Kandar Kudu, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ditemui pemberita di luar mahkamah, Nur Shafiqah berkata pihaknya mengemukakan representasi bagi memohon pertuduhan dikaji semula sekiranya terdapat kebarangkalian untuk penurunan pertuduhan atau sebagainya.

"Jadi, apabila representasi ditolak, pihak pembelaan memohon agar perbicaraan diteruskan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement