LONDON: Pewaris takhta diraja Britain, Putera Charles dipersoalkan susulan laporan badan amal dan kebajikan yang diasaskannya, Prince of Wales’s Charitable Fund (PWCF) menerima sumbangan dana berjumlah 1 juta Pound (RM5.4 juta) daripada keluarga Osama Bin Laden.

Seperti dilaporkan The Sunday Times, badan amal Putera Charles itu pada 2013 menerima dana daripada Bakr dan Shafiq Bin Laden yang juga adik-beradik tiri Osama Bin Laden yang didakwa sebagai pengasas Al-Qaeda dan individu yang bertanggungjawab di sebalik serangan 11 September.

Penyiaran berita berkenaan merupakan susulan daripada pendedahan siri skandal diraja Britain termasuk laporan yang dibuat pada Jun lalu bahawa Putera Charles didakwa menerima sumbangan wang berjumlah AS$3.1 juta daripada billionaire Qatar antara 2011 dan 2015.

Bin Laden merupakan nama keluarga Arab Saudi yang sangat berpengaruh yang memiliki empayar perniagaan pembinaan.

Keakraban keluarga berkenaan dengan keluarga diraja Arab Saudi juga dikatakan menyumbang pada kekayaan mereka.

Faktor ini, bagaimanapun, tidak mengesahkan sama ada Bakar atau Shafiq menaja, menyokong atau terlibat secara langsung dalam mana-mana tindakan keganasan.

Keluarga Bin Laden juga memutuskan hubungan dengan Osama Bin Laden pada 1994 selepas kerajaan Arab Saudi melucutkan kewarganegaraannya disebabkan penglibatannya dalam kegiatan ekstremis.

Pada Sabtu, pejabat dan kediaman rasmi Putera Charles, Clarence House mengesahkan keluarga Bin Laden memberi sumbangan kepada badan amal diraja itu.

Bagaimanapun, sumbangan itu disalurkan ke PWCF dan bukannya diterima oleh Putera Charles secara peribadi.

Bercakap kepada The Sunday Times, Pengerusi PWCF, Sir Ian Cheshire berkata, sumbangan yang diterima daripada keluarga Bin Laden itu dipersetujui oleh lima pemegang amanah badan berkenaan pada ketika itu.

Kata beliau: “Sumbangan daripada Sheikh Bakr Bin Laden pada 2013 dipertimbangkan dengan penuh teliti oleh pemegang amanah PWCF. Pelbagai kewajaran, maklumat dari pelbagai sumber diambil kira termasuk dari kerjaaan sebelum keputusan itu dibuat. Keputusan untuk menerima sumbangan dilakukan sepenuhnya oleh pemegang amanah.”

Dalam perkembangan sama, The Sunday Times melaporkan, beberapa penasihat Putera Charles menasihatkan beliau untuk memulangkan semula sumbangan tersebut.