TOKYO: Badan penasihat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mencadangkan beberapa tapak purba di Wilayah Nara yang memaparkan pembentukan negara berpusat Jepun disenaraikan dalam Senarai Warisan Budaya Dunia, menurut agensi hal ehwal kebudayaan negara itu pada Sabtu.
Kyodo News melaporkan keputusan rasmi mengenai “Asuka-Fujiwara: Tapak Arkeologi Ibu Kota Purba Jepun dan Harta Berkaitan” dijangka dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO di Korea Selatan dari 19 hingga 29 Julai.
Jika didaftarkan, Jepun akan mempunyai 27 Tapak Warisan Dunia, terdiri daripada 22 tapak budaya dan lima tapak semula jadi.
Kelompok Asuka-Fujiwara merangkumi 19 tapak arkeologi yang wujud dari akhir abad keenam hingga awal abad kelapan.
Antara tapak utama termasuk runtuhan istana berkaitan pembinaan awal negara, tinggalan ibu kota penuh pertama Jepun, runtuhan kuil Buddha serta makam purba, termasuk satu yang terkenal dengan mural berwarna terang.
Tapak berkenaan menunjukkan proses kemunculan dan pembentukan sistem politik berpusat Jepun dalam latar hubungan rapat dengan China dan Semenanjung Korea.
-- BERNAMA-KYODO