ISTANBUL: Bahrain mengeluarkan amaran bahaya dan menggesa orang ramai supaya bertenang serta bergerak ke lokasi selamat susulan ketegangan di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Dalam Negeri menggesa orang ramai supaya kekal tenang dan pergi ke tempat selamat terdekat, selain menasihatkan mereka mengikuti perkembangan menerusi saluran rasmi bagi membantu menjaga keselamatan awam.
Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) sebelum itu mengumumkan bahawa pihaknya telah melancarkan serangan terhadap sasaran milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Iran pula mengumumkan bahawa pihaknya melancarkan serangan balas terhadap serangan AS menggunakan peluru berpandu dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV).
Tentera Iran berkata kemudahan radar milik AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain serta lokasi anggota tentera AS berkumpul menjadi sasaran serangan dron kamikaze.
-- BERNAMA-ANADOLU