Skip to main content

Dunia

Bangkai kapal Rom purba berusia lebih 2,000 tahun ditemui di perairan Sicily

Sumber: REUTERS
Bangkai kapal era Rom ditemui di luar pantai Sicily, Itali. - Foto REUTERS
Advertisement

ROM: Penyelam Itali menemui bangkai kapal era Rom purba yang dipercayai berusia lebih 2,000 tahun di luar pantai Sicily, dalam penemuan yang disifatkan sebagai antara penemuan arkeologi bawah air paling penting sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kapal itu ditemui pada kedalaman kira-kira 46 meter berhampiran Mazara del Vallo selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada nelayan tempatan.

Bangkai kapal berukuran kira-kira 21 meter panjang dan enam meter lebar itu dipercayai berasal dari abad pertama atau kedua sebelum Masihi.

Menteri Kebudayaan Itali, Alessandro Giuli, menyifatkan penemuan itu sebagai “salah satu penemuan arkeologi bawah air paling penting dalam beberapa tahun kebelakangan ini”.

Kapal berkenaan ditemui bersama ratusan amfora, iaitu bekas seramik purba yang lazim digunakan pada zaman Rom untuk mengangkut barangan seperti wain, minyak zaitun dan bijirin.

Kebanyakan bekas itu didapati masih dalam keadaan baik meskipun telah berada di dasar laut selama lebih dua milenium.

Penemuan bersejarah itu pada asalnya dibuat oleh penyelam bebas dan nelayan, Giacomo De Mola, yang tertarik selepas mengesan objek menyerupai batu besar menerusi pengimbas dasar laut.

Apabila menghampiri kawasan berkenaan, beliau mendapati terdapat ratusan amfora tersusun di dasar laut.

Menurut De Mola, penemuan itu merupakan yang paling luar biasa dalam hidupnya dan memberi peluang untuk melihat semula lokasi yang tidak disentuh manusia selama hampir 20 abad.

Susulan penemuan itu, unit perlindungan warisan budaya Carabinieri bersama pakar arkeologi bawah air telah dihantar ke lokasi bagi menjalankan dokumentasi dan penyiasatan lanjut.

Pihak berkuasa Itali berkata langkah perlindungan akan dilaksanakan bagi memelihara tapak berkenaan sementara penyelidikan diteruskan untuk menentukan sejarah kapal tersebut serta asal-usul kargonya.

Penemuan itu menambah senarai bangkai kapal purba yang ditemui di dasar Laut Mediterranean, yang dipercayai menjadi laluan perdagangan utama tamadun Rom dan pelbagai tamadun kuno lain.

 

 

Must Watch Video

Advertisement