Bangladesh pada Selasa berkata pihaknya menolak untuk menerima semula 269 pelarian Rohingya yang ditahan pihak berkuasa Malaysia.

"Bangladesh tidak akan menerimanya. Bangladesh tidak mempunyai kewajipan atau berada dalam posisi untuk menerima pelarian Rohingya lagi," kata Menteri Luar AK Abdul Momen kepada agensi berita Anadolu.

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin menahan 269 pelarian Rohingya dan turut menemukan mayat di atas bot yang rosak di luar pulau peranginan Langkawi.

Tambah beliau Rohingya bukan warga Bangladesh, mereka penduduk Myanmar.

Beliau menyeru negara-negara lain turut sama menerima pelarian Rohingya dan beban itu bukan hanya perlu ditanggung Bangladesh sendirian.

"Kita mengalu-alukan negara lain mengambil mereka dan memindahkan 1.1 juta Rohingya yang kini berlindung sementara di Bangladesh," kata Momen.

BACA: 269 pelarian Rohingya ceroboh negara akan jalani saringan COVID-19

BACA: Malaysia bertegas, tidak lagi terima pelarian Rohingya - Ismail Sabri

Sementara itu, dua lagi pelarian Rohingya di kem sementara di Cox's Bazar meninggal dunia pada Selasa akibat COVID-19, sehingga kini seramai tiga orang telah maut.

"Hari ini (Selasa), dua lagi kematian dan enam kes dilaporkan. Jumlah pelarian yang dijangkiti ialah 35 orang," kata seorang pegawai Mahbub Alam Talukder.

Beliau berkata lebih 20,000 Rohingya dilaporkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang berlindung di khemah yang sama.

-- BERNAMA