Skip to main content

Dunia

Bangladesh tangguh lawatan PM Tarique Rahman ke India selagi Sheikh Hasina tidak diekstradisi

Sheikh Hasina
Hasina kini berdepan hukuman mati di Bangladesh selepas disabitkan atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan, manakala Dhaka berulang kali mengemukakan permintaan rasmi kepada India supaya beliau dihantar pulang. - Gambar fail
Advertisement

DHAKA: Bangladesh menegaskan Perdana Menteri, Tarique Rahman, tidak akan mengadakan lawatan ke India selagi New Delhi tidak mengekstradisi bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang melarikan diri ke negara jiran itu selepas pemberontakan pada 2024.

Hubungan antara kedua-dua negara dilihat tegang sejak tunjuk perasaan antikerajaan yang meragut banyak nyawa menjatuhkan pentadbiran Hasina, sekali gus memaksanya mendapatkan perlindungan di India, tempat beliau masih berada sehingga kini.

Hasina kini berdepan hukuman mati di Bangladesh selepas disabitkan atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan, manakala Dhaka berulang kali mengemukakan permintaan rasmi supaya beliau dihantar pulang.

Pegawai Kementerian Luar Bangladesh, A.K.M. Shahidul Karim, pada Ahad menolak spekulasi media mengenai kemungkinan Rahman melakukan lawatan ke India minggu depan.

"Kami berpandangan persekitaran yang sesuai perlu diwujudkan terlebih dahulu bagi membolehkan lawatan itu berlangsung.

"Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa India mempercepatkan usaha untuk mengekstradisi Sheikh Hasina dan individu lain yang sedang diburu," katanya kepada pemberita.

India sebelum ini memaklumkan bahawa permintaan ekstradisi oleh Bangladesh masih dalam proses penelitian.

Rahman yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Februari lalu, telah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan China, sekali gus menyimpang daripada tradisi pemimpin Bangladesh yang lazimnya memilih India sebagai destinasi pertama lawatan luar negara selepas memegang jawatan.

Pertemuan antara Pesuruhjaya Tinggi India ke Bangladesh, Dinesh Trivedi, dan Rahman minggu lalu turut mencetuskan spekulasi bahawa kedua-dua negara semakin hampir mencapai titik persefahaman dalam isu berkenaan.

Karim berkata, pegawai Bangladesh dan India telah berhubung sejak beberapa minggu kebelakangan ini bagi membincangkan kemungkinan lawatan Rahman ke New Delhi.

Bagaimanapun, menurut beliau, proses itu terjejas susulan kemunculan terbuka Hasina dalam pelbagai platform media walaupun beliau telah disabitkan atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hasina, yang pernah dikenali sebagai tokoh pro-demokrasi tetapi dikritik kerana semakin bersikap autoritarian sepanjang 15 tahun pemerintahannya, awal bulan ini berikrar akan kembali ke Bangladesh pada Disember, walaupun berdepan kemungkinan dipenjarakan.

Dalam perkembangan sama, Karim berkata, kerajaan Bangladesh akan terus mengamalkan dasar luar "Bangladesh First" yang berteraskan kedaulatan negara serta prinsip tidak campur tangan, sambil mengekalkan hubungan yang saling menguntungkan dengan India dan negara-negara lain.

Ketegasan Dhaka dalam isu ekstradisi Hasina dilihat menjadi faktor utama yang akan menentukan hala tuju hubungan dua hala antara Bangladesh dan India dalam tempoh terdekat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement