HANOI:Bencana banjir dan tanah runtuh dicetuskan hujan lebat yang melanda wilayah tengah Vietnam meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa manakala 14 yang lain masih hilang, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Sehingga Isnin pagi seramai 45,835 penduduk sudah dipindahkan.

Hujan lebat memusnahkan sebanyak 382 rumah dan menenggelamkan 109,034 yang lain. Bencana itu turut merosakkan sawah padi, kawasan pertanian dan perikanan selain membunuh 271 ekor lembu serta 150, 489 ternakan lain.

Sebanyak 17  kapal mengalami kerosakan dan tiga kru kapal maut manakala empat yang lain masih hilang. Misi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

BACA: Hujan lebat berterusan di Vietnam, 17 dilaporkan maut

Daerah paling teruk dilanda banjir termasuk Le Thuy dan Quang Ninh di wilayah Quang Binh; daerah Dak Rong dan bandar Quang Tri di wilayah Quang Tri; daerah Phu Loc, Phuc Vang, Quang Dien, dan Phong Dien dan bandar Hue di wilayah Thua Thien-Hue; daerah Dai Loc, Dien Ban, dan Duy Xuyen dan bandar Hoi An dan Tam Ky di wilayah Quang Nam; dan Binh Son, Son Tinh, Nghia Hanh, daerah Tu Nghia dan bandar Quang Ngai di wilayah Quang Ngai.

Hujan lebat dijangka berterusan pada Selasa.

-- BERNAMA