Skip to main content
Advertisement

Dunia

Banjir mula surut di beberapa kawasan Bangkok, usaha menerusi saliran dipertingkat

People wade through a flooded street after heavy rain in Bangkok, Thailand, Monday, Sept. 28, 2026. (AP Photo/Sakchai Lalit)
Orang ramai mengharungi jalan yang dinaiki air selepas hujan lebat di Bangkok, Thailand, 28 Sept 2026. - Gambar AP
Advertisement

BANGKOK: Banjir mula surut di beberapa kawasan ibu negara Thailand, Bangkok, ketika pihak berkuasa mempergiatkan operasi mengepam air dan usaha menyampaikan bantuan di komuniti yang terjejas.

Timbalan Gabenor Bangkok, Wisanu Subsompon berkata, keutamaan segera khususnya di timur Bangkok adalah bagi menurunkan paras air di Terusan Saen Saep dan Prawet Burirom bagi membolehkan air dari terusan sekunder, jalan raya serta kawasan perumahan dipam ke sistem saliran utama.

“Prinsip utama kami adalah menurunkan paras air di terusan utama terlebih dahulu. Kami menganggarkan kira-kira tiga hari diperlukan untuk paras air terusan turun ke tahap yang membolehkan terusan sekunder disalirkan dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wisanu berkata, keadaan bertambah baik di beberapa kawasan sepanjang Terusan Saen Saep, khususnya di utara Ramkhamhaeng, sekali gus membolehkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) meningkatkan operasi mengepam air dari terusan sekunder secara berperingkat.

Ketika air banjir mulai surut, BMA turut bekerjasama dengan polis dan pejabat daerah untuk mengalihkan kenderaan yang ditinggalkan dan rosak dari jalan yang terjejas, selain menggesa pemilik kenderaan yang masih boleh dipandu supaya mengalihkannya bagi membantu melancarkan laluan utama.

Sementara itu, BMA meningkatkan operasi bantuan dengan Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt, meninjau pusat pengagihan bantuan banjir di Sekolah Vichutit di Din Daeng pada Isnin.

Pusat berkenaan mampu menyediakan kira-kira 60,000 pek makanan yang dimasak bagi setiap waktu makan atau sehingga 180,000 pek sehari untuk diagihkan ke kawasan yang terjejas teruk termasuk Bang Kapi, Lat Krabang, Sai Mai, Khlong Sam Wa, Min Buri dan Prawet.

BMA sebelum ini memaklumkan, banjir teruk sejak minggu lepas menjejaskan kira-kira 329,000 keluarga atau 700,000 penduduk di seluruh Bangkok. Lat Krabang merupakan daerah yang paling teruk terjejas dengan anggaran 30,000 hingga 40,000 mangsa banjir.

 --BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement