BANGKOK: Bank pusat Thailand pada Khamis berkata, pihaknya bekerjasama dengan 11 persatuan industri kewangan bagi memperkukuh langkah menangani penyalahgunaan sistem kewangan untuk tujuan haram menerusi satu rangka kerja baharu, lapor Xinhua.
Gabenor Bank of Thailand, Vitai Ratanakorn berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan sistem kewangan Thailand kekal stabil, selamat dan dipercayai, selain melindungi orang ramai daripada kemudaratan akibat penyalahgunaan perkhidmatan kewangan.
Di bawah rangka kerja itu, Vitai berkata, pihak yang mengambil bahagian perlu menetapkan dasar tadbir urus yang jelas bagi mencegah penyalahgunaan sistem serta meningkatkan penelitian terhadap transaksi tunai berisiko tinggi.
Institusi kewangan juga akan menggunakan teknologi untuk mengenal pasti secara proaktif transaksi luar biasa serta membangunkan pangkalan data bersama individu berisiko tinggi yang dikaitkan dengan Central Fraud Registry.
Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata, pihaknya akan memperketat piawaian penyeliaan di seluruh sistem, memperluas penggunaan data dan teknologi bagi mengesan transaksi berisiko tinggi serta menggalakkan perkongsian maklumat antara institusi untuk menutup kelemahan kawal selia yang dieksploitasi oleh rangkaian penipuan.
Antara yang menandatangani rangka kerja itu ialah Persatuan Bank-Bank Thailand, Persatuan Bank Antarabangsa, Persatuan Institusi Kewangan Kerajaan, Persatuan Perdagangan E-Pembayaran Thailand, Persatuan Pertukaran Asing dan Perkhidmatan Kewangan Thailand serta enam persatuan yang mewakili pemberi pinjaman bukan bank.
Kumpulan berkenaan akan bersama-sama mengeluarkan garis panduan seluruh industri mengenai pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, selain bekerjasama dengan rangkaian komuniti bagi meningkatkan daya tahan kewangan golongan rentan.
Bank pusat itu turut menyatakan bahawa usaha bersepadu berkenaan, yang disokong kempen literasi kewangan kepada orang ramai, bertujuan memperkukuh keselamatan, daya tahan dan keyakinan jangka panjang terhadap sistem kewangan negara Asia Tenggara itu, sambil mengambil kira kesan terhadap pelanggan yang sah, persaingan pasaran dan inovasi.
-- BERNAMA-XINHUA