Barangan kemas dianggarkan lebih 22 juta baht (RM3 juta) dilarikan lima individu termasuk dua wanita bersenjatakan M16 dan AK47 di sebuah kedai emas di Nathavi, Songkhla, selatan Thailand semalam.

Ketua Polis Daerah Nathavi Kol. Pol. Akkarat Suansenn berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari (waktu tempatan), lima individu berpakaian seperti renjer itu berjaya melarikan 15 kilogram emas di kedai emas terbabit yang terletak di tengah Bandar Nathavi.

"Perompak bersenjatakan M16 dan AK 47 menyerbu kedai emas itu dan melarikan barangan kemas dalam masa kurang daripada 10 minit.

"Mereka turut melarikan komputer yang bersambung dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut," katanya ketika dihubungi.

Akkarat berkata ketika kejadian, empat pekerja wanita berada di dalam kedai tersebut.

"Siasatan awal polis mendapati suspek menggunakan van yang dirompak dari Pattani.

"Pemilik van telah membuat laporan polis di Nong Chik bahawa dia telah didatangi sekumpulan lelaki dan wanita yang mahu menyewa van ke Hatyai, Songkhla.

"Pemandu tersebut telah diikat tangan dan matanya ditutup sebelum ditinggalkan di sebuah ladang getah dan van tersebut dibawa lari kumpulan itu," katanya.

Van tersebut kemudian ditemui semula di Kampung Pobit Thai, Nathavi, kira-kira 15 kilometer dari kedai emas yang dirompak, katanya.

-- BERNAMA