LOS ANGELES: Hampir dua bulan selepas kebakaran memusnahkan sebuah gudang penyimpanan sejuk di Boyle Heights, Los Angeles, penduduk masih berdepan bau busuk yang menyengat akibat kira-kira 39 juta kilogram makanan yang mereput di lokasi terbabit.
Kebakaran yang berlaku pada 17 Jun lalu memusnahkan gudang kendalian syarikat logistik Lineage dan menyebabkan sekitar 85 juta paun makanan, termasuk daging lembu, daging babi, ayam serta makanan laut, rosak dan reput.
Penduduk mendakwa proses pembersihan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan, sekali gus menimbulkan rasa kecewa apabila bau busuk terus menyelubungi kawasan kejiranan mereka.
Seorang pengawal keselamatan, Mesha, berkata bau yang terhasil sangat kuat sehingga menyebabkan rasa loya dan menyamakannya dengan bau mayat.
Selain bau yang memualkan, kawasan tersebut turut dibanjiri lalat dan tikus.
Penduduk melaporkan kehadiran lalat dalam jumlah yang banyak, manakala beberapa tikus yang ditemui disifatkan terlalu besar sehingga perangkap yang dipasang di kaki lima tidak mampu menampungnya.
Peniaga kopi tempatan, Alexis Sicairos, berkata perniagaannya terjejas teruk selepas kebakaran itu.
Menurutnya, ramai pelanggan tidak lagi datang kerana tidak sanggup berdepan bau busuk, asap dan serangan lalat yang berterusan.
Laporan pemeriksaan yang ditugaskan pihak bandar raya turut memberi amaran bahawa sisa makanan reput dan suhu tinggi boleh mempercepatkan pembiakan lalat yang berpotensi membawa penyakit kepada manusia dan haiwan, khususnya melalui luka terbuka.
Syarikat Lineage memaklumkan kira-kira 80 peratus sisa makanan telah dibersihkan setakat minggu ini dan menyasarkan baki sisa utama dapat dipindahkan dalam tempoh terdekat.
Syarikat itu dijangka membelanjakan antara AS$80 juta hingga AS$100 juta bagi operasi pembersihan berkenaan.
Bagaimanapun, Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass, menegaskan tindak balas syarikat itu masih tidak memadai.
Beliau berkata penduduk berhak menerima maklumat yang telus, komunikasi yang jelas dan bantuan yang bermakna sepanjang proses pemulihan berlangsung.
Pihak berkuasa kesihatan daerah sebelum ini turut mengenakan denda terhadap Lineage berhubung keadaan tidak bersih dan gangguan perosak di kawasan terbabit.
Bass turut menetapkan tarikh akhir 13 Ogos untuk syarikat itu menyelesaikan kerja pembersihan serta mengarahkan sebarang rancangan membina semula gudang berkenaan ditangguhkan sehingga keselamatan dan kesihatan komuniti setempat benar-benar terjamin.