Beberapa negara umum tarik diri sebagai tindak balas selepas Israel dibenarkan sertai Eurovision 2026

Ibu pejabat Kesatuan Penyiaran Eropah di mana berlangsungnya Perhimpunan Agung yang memutuskan untuk membenarkan penyiar Israel KAN bertanding dalam pertandingan Eurovision 2026, Geneva, Switzerland, 3 Dis 2025. - Gambar fail/REUTERS
BRUSSELS: Pengesahan bahawa Israel akan menyertai Pertandingan Lagu Eurovision 2026 pada Khamis mencetuskan kecaman segera, dengan beberapa penyiar nasional mengumumkan penarikan diri mereka, lapor Anadolu Ajansi.
Ringkasan AI
- Majoriti ahli Kesatuan Penyiaran Eropah undi untuk Israel sertai Eurovision 2026 di Vienna, Austria.
- Sepanyol, Belanda, Ireland, dan Slovenia tarik diri serta tidak siarkan pertandingan disebabkan campur tangan politik Israel di Gaza.
- Keputusan penyiar negara Eropah menarik diri menunjukkan ketidakpuasan terhadap Israel dalam konteks kemanusiaan dan politik.
"Situasi di Semenanjung Gaza, meskipun terdapat gencatan senjata dan kelulusan proses damai, serta penggunaan pertandingan ini untuk tujuan politik oleh Israel, menjadikan semakin sukar untuk mengekalkan Eurovision sebagai acara budaya neutral," kata Setiausaha Agung RTVE Alfonso Morales dalam satu kenyataan.
Penyiar Belanda AVROTROS turut mengesahkan penarikan diri, dengan menyatakan bahawa penyertaan Israel, ditambah pula dengan situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan sekatan terhadap kebebasan media, bercanggah dengan nilai teras organisasi itu.
Penyiar Ireland RTE juga mengumumkan tidak akan mengambil bahagian atau menyiarkan pertandingan itu, dengan alasan krisis kemanusiaan berterusan di Semenanjung Gaza dan serangan yang disasarkan terhadap wartawan adalah bercanggah dengan prinsip penyiar berkenaan.
"RTE berpendapat Ireland tidak patut menyertainya memandangkan kehilangan nyawa yang begitu mengerikan di Semenanjung Gaza dan krisis kemanusiaan yang terus mengancam nyawa begitu ramai orang awam," menurut kenyataan itu.
RTV Slovenia juga tidak akan menyertai pertandingan berkenaan, menurut Pengerusinya Natalija Gorscak. "Mesej kami ialah: kami tidak akan mengambil bahagian dalam ESC jika Israel ada di sana. Bagi pihak 20,000 kanak-kanak yang terkorban di Semenanjung Gaza," katanya.
Penyiar Flemish Belgium VRT mengumumkan ia akan menyiarkan Eurovision 2026, manakala penyiar berbahasa Perancis Belgium RTBF, yang dijadualkan menghantar peserta ke Eurovision tahun ini, masih belum menyatakan pendiriannya.
Lembaga pengarah RUV, penyiar nasional Iceland, dijangka membincangkan sama ada untuk mengambil bahagian dalam Eurovision susulan penyertaan Israel.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

