DUNIA
Bekas CEO Astronomer mahu saman Coldplay

Insiden berlaku semasa konsert Coldplay di Massachusetts, apabila kamera ‘kiss-cam’ menangkap mereka sedang berpelukan, sebelum kedua-duanya berpaling serta menutup muka seolah-olah tidak mahu dikenali. - Gambar fail
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat teknologi Astronomer, Andy Byron dilaporkan bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan muzik terkenal British, Coldplay susulan insiden ‘kiss-cam’ yang tular semasa konsert mereka baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Bekas CEO syarikat teknologi Astronomer, Andy Byron bercadang menyaman kumpulan Coldplay dan penganjur konsert atas dakwaan tekanan emosi dan pencerobohan privasi susulan insiden kiss-cam yang tular semasa konsert di Massachusetts.
- Rakaman menunjukkan Byron dan Ketua Sumber Manusia syarikatnya, Kristin Cabot berpelukan dan bercium, mencetuskan spekulasi serta reaksi meluas; kedua-duanya telah digantung tugas dan kemudian meletak jawatan dari syarikat masing-masing.
- Pakar undang-undang berpendapat tuntutan Byron sukar untuk berjaya kerana konsert adalah acara awam, manakala kehidupan peribadi mereka turut terjejas termasuk tindakan isteri Byron dan suami Cabot selepas insiden tular tersebut.
Menurut laporan Page Six, Byron merancang untuk menyaman Coldplay serta penganjur konsert atas alasan 'tekanan emosi' dan 'pencerobohan privasi'.
Seorang sumber rapat memaklumkan bahawa Byron tidak memberikan persetujuan untuk dirakam dan kini merasakan dirinya menjadi bahan jenaka dalam talian.
“Dia tidak bersetuju untuk dirakam atau dimalukan secara terbuka. Dia percaya Coldplay telah menjadikannya bahan meme,” kata sumber itu.
Peguam dari firma undang-undang MSD Lawyers, Camron Dowlatshahi, turut memberi pandangan berhubung kes ini.
Menurutnya, terdapat kemungkinan Byron boleh membuat tuntutan fitnah, khususnya berkaitan kenyataan vokalis Coldplay, Chris Martin yang menyebut: "Mereka mungkin ada hubungan sulit, atau mereka terlalu pemalu."
Dowlatshahi menambah, Byron perlu membuktikan bahawa tiada hubungan sulit berlaku bagi menyokong tuntutan fitnah tersebut.
Setakat ini, pihak Coldplay masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. Namun, menurut laman hiburan ShuterScoop yang memetik sumber dalaman, Chris Martin dikatakan hanya ketawa apabila mendengar berita Byron mahu menyaman mereka.
Walau bagaimanapun, pakar undang-undang menyifatkan saman itu sebagai sukar untuk berjaya. Seorang peguam memberitahu Page Six bahawa dalam sebuah konsert awam dengan 70,000 penonton dan kamera merata-rata, jangkaan untuk kekal ‘privasi’ adalah hampir sifar. Ini kelihatan seperti cubaan mengalihkan perhatian atau menyalahkan orang lain.
Selepas rakaman tular itu, Byron dan Cabot masing-masing sudah berkahwin dilaporkan telah digantung tugas oleh syarikat mereka. Kemudian pada Sabtu, lembaga pengarah Astronomer mengesahkan peletakan jawatan Andy Byron menerusi kenyataan rasmi. Kristin Cabot juga mengemukakan surat peletakan jawatan.
Sementara itu, kehidupan peribadi Byron turut dilaporkan terjejas. Menurut sumber, isterinya, Megan Kerrigan yang juga seorang pendidik di Sekolah Bancroft, telah mengalihkan nama keluarga suaminya daripada profil Facebooknya sebelum menyahaktifkan akaun tersebut.
Kristin Cabot pula merupakan isteri kepada Andrew Cabot, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat arak, Privateer Rum. - Sinar Harian/ Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami