Skip to main content

Dunia

Bekas pegawai keselamatan Ukraine dakwa serangan bom Monaco diarah pegawai risikan

Sebuah bangunan mewah di Monaco rosak selepas letupan bom yang dipenuhi bolt dan serpihan logam, menyebabkan ahli perniagaan Ukraine Vadym Yermolayev serta ahli keluarganya cedera. - Foto fail/REUTERS
Sebuah bangunan mewah di Monaco rosak selepas letupan bom yang dipenuhi bolt dan serpihan logam, menyebabkan ahli perniagaan Ukraine Vadym Yermolayev serta ahli keluarganya cedera. - Foto fail/REUTERS

Advertisement

KYIV: Vitalii Zhykovych, bekas pegawai perkhidmatan keselamatan Ukraine yang dikaitkan dengan serangan bom di Monaco ke atas ahli perniagaan Vadym Yermolayev, mendakwa operasi itu telah diluluskan oleh pegawai atasan dalam Direktorat Risikan Utama Ukraine (HUR).

Vitalii Zhykovych, yang kini ditahan di Kyiv, membuat dakwaan itu dalam wawancara eksklusif dengan BBC menerusi peguamnya.

Menurut Zhykovych, pegawai HUR, Vladyslav Reut, yang digelarnya sebagai "bos", mencadangkan operasi terhadap Yermolayev dan memaklumkan kepadanya bahawa misi itu telah diluluskan oleh pihak atasan dalam agensi berkenaan.

Bagaimanapun, Zhykovych menafikan terlibat secara langsung dalam serangan bom itu dan mendakwa hanya mengendalikan Anastasia Berezovska, wanita yang dirakam kamera litar tertutup meletakkan bom di lokasi kejadian.

Yermolayev, anak lelakinya yang berusia 13 tahun dan pasangannya mengalami kecederaan parah dalam letupan yang berlaku di Monaco pada Jun lalu.

Seminggu selepas serangan itu, mayat Berezovska ditemui di kawasan hutan berhampiran Kyiv dengan kesan tembakan di kepala.

Zhykovych dan Reut kemudian ditahan serta didakwa berhubung pembunuhan wanita itu, namun kedua-duanya saling menuduh antara satu sama lain sebagai pelaku.

Zhykovych turut mendakwa Reut memberitahunya bahawa serangan terhadap Yermolayev adalah sebagai tindak balas terhadap dakwaan pembiayaan berkaitan wilayah Crimea yang dikuasai Rusia.

Yermolayev bagaimanapun menafikan mempunyai sebarang kepentingan perniagaan yang masih berkaitan dengan Rusia.

Sementara itu, HUR sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya komited untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan, manakala pihak berkuasa Ukraine masih meneruskan penyiasatan terhadap serangan bom di Monaco dan pembunuhan Berezovska.

Kes berprofil tinggi itu mencetuskan spekulasi meluas mengenai motif sebenar serangan berkenaan, termasuk kemungkinan ia berkait dengan operasi risikan, tindakan individu tertentu atau pertikaian berkaitan kepentingan perniagaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement