COLOMBO: Bekas wanita pertama Sri Lanka, Shiranthi Rajapaksa isteri kepada bekas Presiden Mahinda Rajapaksa ditahan pada Rabu oleh pegawai Suruhanjaya Penyiasatan Dakwaan Rasuah atau Salah Laku, lapor Xinhua.
Shiranthi Rajapaksa ditahan di kediamannya di sebuah kawasan pinggir Colombo selepas penyiasat mengambil keterangannya selama hampir dua jam, menurut suruhanjaya itu.
Beliau ditahan berhubung dakwaan penyelewengan kewangan dan transaksi melibatkan akaun yang dikaitkan dengan Dana Siriliya Saviya, sebuah badan kebajikan yang diasaskannya.
Pihak berkuasa sedang meneliti dakwaan bahawa jutaan rupee yang diterima yayasan berkenaan sebagai sumbangan tidak dimasukkan ke dalam akaun dengan sewajarnya dan mungkin disalurkan untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan objektif kebajikan yang dinyatakan.
Bekas wanita pertama itu merupakan anggota keluarga Rajapaksa yang terbaharu ditahan susulan tindakan tegas pentadbiran Sri Lanka ketika ini terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
Pada 4 Sept, Namal Rajapaksa, anak sulung Mahinda dan Shiranthi Rajapaksa, ditahan oleh badan penyiasat rasuah berhubung pertuduhan berkaitan pembelian pesawat berbadan lebar untuk SriLankan Airlines.
Beliau dibebaskan dengan jaminan pada 30 Sept.
-- BERNAMA-XINHUA