Berang barang kemas miliknya dicuri bekas kekasih, seorang wanita berusia 64 tahun didakwa telah mengupah empat anggota mafia di Sicily untuk membunuh bekas kekasihnya.

Mangsa, Lamaj Astrid, 41 tahun merupakan warga Albania yang dilaporkan hilang pada tahun 2013.

Enam tahun kemudian, siasatan oleh pihak anti mafia di wilayah Caltanissea telah membawa kepada penemuan mayat Astrid yang telah disimen ke dalam sebuah tiang konkrit di sebuah vila di Senago.

Mayat mangsa ditemui pada bulan Januari lalu semasa vila berkenaan sedang diubah usai, namun berita penemuannya hanya dimaklumkan oleh pihak berkuasa, Jumaat lalu.

Keempat-empat anggota mafia yang dituduh membunuh dan menyembunyikan mayat mangsa telah ditahan di Sicily dan mereka dikatakan mempunyai kaitan dengan sebuah keluarga mafia berpengaruh dari Riesi, Caltanissea.

"Wanita itu mempunyai kenalan rapat dalam keluarga mafia dan kebenaran telah diberikan oleh ketua
mafia untuk melakukan pembunuhan terbabit," kata komander polis kepada media.

Menurut laporan media antarabangsa, wanita berkenaan cuba untuk melarikan diri namun dia berjaya ditahan pihak berkuasa.

Sumber penyiasat juga memaklumkan wanita terbabit tidak dapat menerima kenyataan ditinggalkan bekas kekasih dan tidak memaafkan lelaki berkenaan kerana telah mencuri barang kemas miliknya.