NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran akan bertindak balas serta-merta dengan kekerasan sekiranya Iran melepaskan tembakan ke arah kapal di perairan serantau.
Timbalan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tammy Bruce berkata, tindakan ketenteraan Washington adalah sebagai mempertahankan diri serta melindungi rakan strategiknya di rantau itu.
"Jika Iran melepaskan tembakan ke arah kapal, kami akan bertindak balas serta-merta dengan kekerasan. Operasi ketenteraan AS adalah tindak balas terhadap ancaman ini, bagi mempertahankan diri dan mempertahankan pihak lain," katanya pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di sini.
Bruce berkata, Washington akan terus berdiri bersama rakan-rakannya di Teluk serta kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa dalam menghadapi ancaman Houthi yang disokong Iran.
Beliau turut menegaskan AS akan terus bekerjasama dengan anggota Majlis Keselamatan PBB, termasuk menggunakan sekatan sebagai antara langkah untuk menyokong penyelesaian aman konflik di Yaman.
Terdahulu, Bruce mendakwa Iran menggunakan penerbangan dari Tehran ke Sanaa pada 3 Julai lalu untuk membawa anggota Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), termasuk pakar dron dan peluru berpandu, dengan berselindung di sebalik alasan menghantar pegawai Houthi menghadiri upacara pengebumian.
"Sokongan seperti ini membolehkan Houthi terus mengganas terhadap rakyat Yaman dan mengancam kebebasan pelayaran di Laut Merah serta laluan perairan sekitarnya," katanya.
Menurut beliau, sebuah lagi pesawat Iran turut memasuki ruang udara Yaman pada Isnin walaupun kerajaan Yaman secara terbuka mengarahkan penerbangan itu tidak diteruskan.
Bruce mendakwa tindakan Tehran itu melanggar Resolusi 2216 Majlis Keselamatan PBB yang melarang pembekalan senjata, bantuan teknikal, latihan dan sokongan ketenteraan kepada Houthi.
Beliau turut mendakwa peningkatan keupayaan ketenteraan Houthi sejak hampir sedekad lalu, termasuk penggunaan dron dan peluru berpandu rentas sempadan, menjadi bukti kumpulan itu menerima sokongan luar yang melanggar sekatan senjata PBB.
Sementara itu, Rusia menyifatkan penerbangan Mahan Air pada 3 Julai sebagai misi kemanusiaan walaupun mengakui ia sepatutnya mendapat persetujuan kerajaan Yaman.
Duta Yaman ke PBB, Abdullah Ali Fadhel Al-Saadi pula mendakwa penerbangan berkenaan melanggar kedaulatan negaranya kerana membawa anggota, kepakaran serta peralatan dwiguna yang boleh digunakan bagi tujuan ketenteraan.