ANTARA pelbagai berita antarabangsa yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 18 Disember 2020.

1) Lapangan terbang Singapura di bawah paras beku, sedia edar vaksin COVID-19

Ketika pintu troli vaksin dibuka di lapangan terbang Changi di Singapura, suhu di bawah sifar bertembung dengan udara panas, mewujudkan wap seperti nafas hangat pada musim sejuk.

Troli ini dikenali sebagai 'cool dollies', yang diperoleh oleh firma logistik Dnata, adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah republik itu untuk memanfaatkan kedudukan negara itu sebagai hab kargo udara dan memastikan vaksin COVID-19 dapat diedarkan di seluruh negara.

2) Presiden Brazil umum tidak mahu ambil vaksin COVID-19

Presiden Brazil Jair Bolsonaro gemar memberikan kenyataan kontroversi. Terbaru, dia memaklumkan bahawa dirinya tidak akan mengambil vaksin COVID-19.

Kenyataan itu menyusul selepas beberapa dakwaan yang tidak berasas mengenai kesan sampingan yang dibawa oleh vaksin virus berkenaan.

3) Pekerja resort Jurassic Park parah diserang biawak komodo

Seorang pekerja dilaporkan parah selepas diserang seekor biawak komodo di sebuah resort baharu yang bakal menjadi tarikan di Indonesia.

Menurut laporan portal nzherald.co.nz, Elias Agas, 46, sedang bekerja di resort 'Jurassic Park' yang kini masih dalam pembinaan di Pulau Rinca.

4) 38 negeri AS kemuka saman antipersaingan terhadap Google

Sejumlah 38 negeri di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman antipersaingan terhadap syarikat teknologi terkemuka Google pada Khamis.

Mereka mendakwa Google mengamalkan langkah monopoli yang melanggar undang-undang di pasaran carian dalam talian.

5) Emmanuel Macron muncul dalam persidangan maya selepas diuji positif COVID-19

Beberapa jam selepas disahkan positif COVID-19, Presiden Perancis Emmanuel Macron tetap muncul pada satu persidangan maya di Paris pada Khamis.

Beliau memberi ucapan secara langsung bagi satu persidangan bantuan nasional dalam mesyuarat Kementerian Luar.

6) Suspek serangan kereta api Paris dijatuhi hukuman penjara seumur hidup

Mahkamah Perancis pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap penyerang utama sebuah kereta api dari Amsterdam ke Paris lima tahun lalu.

Tertuduh, Ayoub El Khazzani, 31 tahun, yang berasal dari Maghribi, dipenjara seumur hidup dengan jaminan 22 tahun.

7) COVID-19: Selepas Pfizer, panel penasihat FDA syor penggunaan vaksin Moderna

Panel penasihat bagi Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) mengesyorkan penggunaan vaksin COVID-19 buatan Moderna untuk tujuan kecemasan.

Keputusan ini bakal memberi pilihan kedua bagi rakyat AS dalam usaha mencegah wabak itu selepas vaksin Pfizer dan Biontech diluluskan minggu lalu.

8) Lebih 300 murid diculik militan Boko Haram dibebaskan

Lebih 300 murid sekolah yang diculik kumpulan militan Boko Haram di Nigeria telah dibebaskan.

Menurut Gabenor Katsina State, kesemua 344 kanak-kanak tersebut telah dibawa pulang oleh pihak keselamatan.

9) Korban COVID-19 di seluruh dunia lepasi angka 1.65 juta

Jumlah korban akibat COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat.

Angka kematian berdasarkan data daripada Johns Hopkins University kini melebihi 1.65 juta kes.

10) COVID-19: Lebih 74.7 juta kes dikesan di seluruh dunia

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi angka 74.7 juta.

Ini berikutan pertambahan ratusan ribu kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.