ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 25 November 2021.

1. Malaysia tubuh pasukan petugas kaji kesan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan

Satu pasukan petugas ditubuhkan bagi merancang dan memantau pembangunan sempadan Sabah dan Sarawak, selaras rancangan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan.

2. 8 maut, 17 termasuk pelajar sekolah cedera dalam letupan bom di Mogadishu

Sekurang-kurangnya lapan terbunuh manakala 17 yang lain termasuk 13 kanak-kanak sekolah cedera dalam kejadian letupan bom kereta oleh pengebom bunuh diri di Mogadishu, Somalia pada Khamis.

3. Politik Sweden | PM wanita pertama letak jawatan selepas 7 jam

Hanya beberapa jam selepas menjadi Perdana Menteri wanita pertama Sweden, Magdalena Andersson meletak jawatan pada Rabu. Ia selepas Greens Party menarik sokongan daripada kerajaan gabungan bersama Parti Social Demoratic susulan belanjawan yang dikemukakan kerajaan gagal diluluskan di Parlimen.

4. COVID-19 | Itali kenakan larangan aktiviti kepada individu tidak vaksin

Berkuatkuasa 6 Disember, hanya individu yang mempunyai bukti vaksinasi atau pulih daripada COVID-19 dibenarkan makan di restoran tertutup dan menonton wayang atau menyertai acara sukan.

5. COVID-19 | Vladimir Putin sahkan terima vaksin versi hidung

Presiden Rusia Vladimir Putin mengesahkan beliau telah mengambil vaksin COVID-19 ujian melalui hidung, tiga hari selepas menerima suntikan dos penggalak. Pengesahan Putin dibuat ketika rusia berdepan lonjakan jangkitan dan kematian terburuk sejak wabak itu bermula.

6. Bot Migran Karam | 31 mati lemas di Selat Inggeris

Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin memaklumkan 31 daripada 34 migran yang ditempatkan di dalam bot kecil itu ditemui lemas manakala dua lagi berjaya diselamatkan.

7. COVID-19: Lonjakan kes ancam pemulihan ekonomi EU

Lonjakan besar dalam kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu mengancam pemulihan Kesatuan Eropah (EU) daripada kemerosotan ekonomi terburuk kesan penularan koronavirus tahun lalu. Menurut Pesuruhjaya Ekonomi EU, Paolo Gentiloni, prospek unjuran ekonomi yang diletakkan dua minggu lalu kini diragui.

8. COVID-19: WHO beri amaran jangan bergantung kepada vaksin sahaja

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada kerajaan untuk tidak bergantung kepada vaksin sahaja bagi menangani peningkatan kes COVID-19. Amaran dikeluarkan ketika jangkitan di seluruh Eropah melonjak, biarpun ada negara yang catat kadar vaksinasi yang tinggi.

9. COVID-19: Kes positif seluruh dunia melepasi 259 juta, korban 5.17 juta

Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat masih kekal negara paling terjejas dengan melebihi 48 juta kes.

10. Lebih 4,000 petugas perubatan di Thailand dijangkiti COVID-19 sejak pandemik melanda

Pengarah Komunikasi Bencana Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Sumanee Wacharasin berkata data menunjukkan dari 15 Feb sebanyak 4,270 petugas barisan hadapan didapati positif COVID-19.