ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 14 Mac 2022.

1. MH17: Australia, Belanda mulakan tindakan undang-undang terhadap Rusia

Australia dan Belanda mengumumkan bahawa satu tindakan undang-undang secara bersama terhadap Rusia telah dimulakan di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) berhubung pesawat MH17 yang ditembak jatuh lapan tahun lalu.

2. Pelancong asing mengeluh, pembukaan Bali cetus kekeliruan

Pelancong asing yang teruja mengunjungi Pulau Bali, Indonesia mengeluh dengan beberapa kekeliruan dan kesulitan berkaitan syarat kemasukan ke pulau peranginan popular itu.

3. Jet pejuang Taiwan terhempas ke laut semasa latihan, juruterbang selamat

Sebuah jet pejuang Mirage 2000 milik tentera udara Taiwan terhempas ke dalam laut semasa melakukan penerbangan latihan namun, juruterbangnya selamat, memetik Facebook Pejabat Presiden Taiwan Tsai Ing-wen pada Isnin.

4. Ukraine-Rusia | Rakyat Turki berlindung di masjid di Mariupol

Rakyat Turki yang berlindung di sebuah masjid di utara Ukraine menyeru kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan supaya menyelamatkan mereka dari bandar Mariupol. Menurut pihak berkuasa Ukraine, seramai 86 warga Turki termasuk 34 kanak-kanak berlindung di Masjid Sultan Suleiman, yang didakwa telah diserang tentera Rusia baru-baru ini.

5. Ukraine-Rusia | Delegasi runding pertemuan Zelenskyy-Putin

Keutamaan bagi delegasi Ukraine adalah untuk mengaturkan mesyuarat antara Presidennya Volodymyr Zelenskyy bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin. Kata Zelenskyy pada Ahad, wakil kedua-dua negara mengadakan rundingan setiap hari menerusi sidang video.

6. Jokowi lawat kawasan pembangunan Nusantara, bermalam dalam khemah

Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dijadual menginap di lokasi pembangunan ibu negara baharu, Nusantara bersama beberapa pegawai atasan, pada Selasa (15 Mac) dengan bermalam di dalam khemah.

7. Dua gempa bumi melanda Sumatera Utara

Dua gempa bumi kuat melanda wilayah Sumatera Utara di Barat Indonesia pada pagi Isnin, mencetuskan panik di kalangan penduduk. Gempa pertama berukuran 6.7 magnitud berlaku pada 4.09 pagi waktu tempatan.

8. Bekalan kuasa di loji nuklear Chernobyl berjaya dipulihkan

Bekalan kuasa luaran di loji nuklear Chernobyl di Ukraine berjaya dipulihkan empat hari selepas ia terputus daripada grid kuasa, kata Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Ahad.

9. 14 warga Vietnam berjaya dipindahkan dari kawasan konflik di Ukraine

Kedutaan Vietnam di Rusia dan Persatuan Vietnam di Krasnodar pada Ahad telah menerima 14 warga Vietnam termasuk tiga kanak-kanak yang melarikan diri dari wilayah Kherson di Ukraine.

10. Rusia tidak dapat akses rizab AS$300 bilion akibat sekatan

Rusia tidak dapat mengakses rizab kewangan bernilai AS$300 bilion disebabkan sekatan Barat, kata menteri kewangan Rusia pada Ahad.