Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Industri pertahanan tempatan perlu tingkat keupayaan, daya saing - Mohamed Khaled

Khaled Nordin_FB Khaled Nordin
Pembangunan industri pertahanan tempatan perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan, teknologi dan daya saing negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Facebook Khaled Nordin
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembangunan industri pertahanan tempatan perlu terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan, teknologi dan daya saing negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pertahanan negara bukan sekadar berkaitan perolehan aset, malah turut melibatkan pembangunan industri pertahanan tempatan bagi memperkukuh keupayaan berdaulatdan kebergantungan kendiri negara.

Mohamed Khaled berkata usaha memperkasa industri berkenaan juga penting bagi memastikan sektor itu dapat menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Sebab itu, Kementerian Pertahanan mahu industri pertahanan tempatan terus meningkatkan keupayaan, teknologi dan daya saing, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

“Kementerian akan terus memberikan dukungan kepada pembangunan industri pertahanan tempatan, selari dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan keperluan strategik negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan lawatan ke SME Ordnance Sdn Bhd (SMEO) di Batu Arang, Selangor bagi meninjau fasiliti serta keupayaan syarikat pertahanan tempatan itu dalam pengeluaran dan pembekalan pelbagai jenis amunisi.

Beliau berkata dengan kompleks pembuatan amunisi bersepadu seluas 210 ekar (85 hektar), SMEO mempunyai keupayaan menghasilkan peluru berkaliber kecil, sederhana dan besar, selain grenad, produk piroteknik serta melaksanakan kerja pemulihan amunisi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement