Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Oktober 4, 2022 15:59 MYT
Oktober 4, 2022 15:59 MYT
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 4 Oktober 2022.
Ketua Polis Malang dipecat, manakala sembilan pegawai elit polis digantung tugas berkuat kuasa Isnin berhubung tragedi rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang Jawa Timur pada Sabtu, yang mengorbankan 125 nyawa dan mencederakan 323 mangsa.
Korea Utara dilapor melancarkan peluru berpandu yang dikesan melintasi ruang udara Jepun pada Selasa.
Dua rakyat Palestin ditembak mati oleh tentera Israel semasa operasi berhampiran Ramallah di tebing barat, di mana ia adalah wilayah yang diduduki Zionis.
15 banduan maut dalam rusuhan di penjara terbesar di Latacunga, Ecuador.
Angka kematian akibat kejadian pengeboman bunuh diri di pinggir barat bandar Kabul kini mencecah 53 orang pada Jumaat, menurut Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) pada Isnin.
Sekurang-kurangnya 12 maut susulan dua letupan bom yang meyasarkan ibu pejabat kerajaan tempatan di ibu kota wilayah Hiran, Somalia.
Perdana Menteri Palestin Mohammed Ishtaye berkata pada Isnin bahawa hasrat Britain untuk memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis "adalah melanggar undang-undang antarabangsa,".
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berjanji pada Isnin untuk memulihkan industri pelancongan negara pasca pandemik dengan menetapkan matlamat baharu untuk melihat pelancong asing datang berbelanja lebih 5 trilion yen (AS$35 bilion) setiap tahun.
Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 17 lagi hilang selepas bot yang membawa berpuluh-puluh orang, kebanyakannya pelarian Rohingya, terbalik di Teluk Bengal di luar pantai daerah Cox's Bazar, Bangladesh pada pagi Selasa.
Ahli genetik Sweden Svante Paabo dianugerah Hadiah Nobel 2022 dalam fisiologi atau perubatan pada Isnin, hasil penemuannya dalam bidang evolusi manusia.