Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 6 Disember 2022.

1. Gempa bumi 6.2 magnitud gegar Bali

Gempa bumi berukuran 6.2-magnitud menggegar Kepulauan Bali dan kepulauan Jawa pada Selasa, lapor agensi tempatan.

2. 3 maut dalam letupan bom terbaharu landasan kereta api Hat Yai-Padang Besar

Tiga pekerja State Railway of Thailand (SRT) maut manakala empat lagi cedera apabila sebutir bom meletup pagi ini berhampiran dengan tempat kejadian landasan kereta api dibom pada Sabtu lepas di Sadao, Songkhla.

3. AS kerjasama dengan G7, EU, EBRD bantu Ukraine pulih infrastruktur tenaga - Blinken

Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan G7, Kesatuan Eropah, Bank Dunia dan Bank Eropah untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD) bagi membantu Ukraine memulihkan semula infrastruktur tenaganya, lapor Sputnik, memetik kenyataan Setiausaha Negara AS Antony Blinken.

4. Bas tertimbus akibat tanah runtuh, tiga kanak-kanak antara 27 maut

Sekurang-kurangnya 27 maut dalam insiden tanah runtuh akibat hujan lebat yang menimbus sebuah bas dan dua kenderaan lain di tengah Colombia.

5. Secara Tertutup | Indonesia sambung semula liga bola sepak tempatan

Indonesia menyambung semula perlawanan liga bola sepak secara tertutup pada malam Isnin, dua bulan selepas negara itu digemparkan dengan salah satu tragedi stadium terburuk di dunia. Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Badan Bola Sepak Indonesia telah membentuk pasukan bertindak susulan tragedi rempuhan maut di Stadium Kanjuruhan di bandar Malang, yang mengorbankan 135 nyawa termasuk lebih 40 kanak-kanak.

6. Gunung Berapi | Pengaliran lahar Mauna Loa mula reda

Pengaliran lahar dari gunung berapi Mauna Loa di Hawaii mula reda pada Isnin. Menurut seorang pakar geologi yang melawat gunung tersebut, letusan itu tidak menimbulkan ancaman kepada kediaman penduduk.

7. Kawalan COVID-19 | Mahasiswa berhimpun bantah sekatan di Nanjing

Kumpulan mahasiswa berhimpun di Nanjing, China untuk membantah perintah kawalan di kampus bagi mengekang penularan COVID-19. Video yang diperolehi Reuters menunjukkan mahasiswa di Universiti Teknologi Nanjing melaungkan desakan supaya mereka dibenarkan pulang ke rumah.

8. Harga minyak naik selepas OPEC kekalkan dasar kurangan pengeluaran

Harga minyak meningkat pada Isnin susulan kebimbangan mengenai bekalan bahan api itu selepas Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, (OPEC+) bersetuju mengekalkan dasar pengurangan pengeluaran dalam menghadapi sekatan Kesatuan Eropah (EU).

9. Usaha pemulihan Fukushima terima pengiktirafan dunia - Menteri Jepun

Pembukaan semula J-Village iaitu pusat latihan bola sepak kebangsaan pertama Jepun menjadi bukti pemulihan berterusan di Fukushima selepas gempa bumi melanda kawasan itu pada 2011.

10. Tanah runtuh Colombia: Angka kematian cecah 33 orang

Angka kematian akibat tanah runtuh di lebuh raya di Colombia pada Ahad lalu kini meningkat kepada 33 orang, kata Menteri Dalam Negeri Colombia Alfonso Prada.