Ringkasan AI
- DAP Sarawak mempertimbangkan untuk menambah jumlah kerusi ditandingi pada PRN Sarawak ke-13 susulan keputusan PKR tidak bertanding.
- Keputusan muktamad mengenai kerusi tambahan dijangka dibuat dalam satu hingga dua hari sebelum hari penamaan calon pada Sabtu.
- Pertimbangan penambahan kerusi melibatkan kawasan Miri dan kawasan lain, dengan kemungkinan melebihi dua kerusi daripada jumlah asal 12 kerusi.
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak tidak menolak kemungkinan menambah jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 susulan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak bertanding.
Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling Sie Kong berkata keputusan berhubung perkara itu dijangka dimuktamadkan dalam tempoh satu hingga dua hari akan datang menjelang hari penamaan calon pada Sabtu.
Menurutnya, parti itu tidak mahu membiarkan kerusi yang sebelum ini diperuntukkan kepada PKR dimenangi tanpa pertandingan, khususnya di Miri.
“Memang sebelum ini kita telah membuat pengumuman rasmi untuk 12 kerusi. Maka dengan keputusan PKR untuk tidak bertanding, kita telah bermesyuarat semalam dan membuat keputusan.
“Mungkin satu, dua hari inilah, tinggal tiga hari untuk penamaan calon. Okey, hari ini dan esok kita akan membuat satu keputusan utama.
“Kerana bagi kita, DAP Sarawak, kita tidak ‘membenarkan’ kerusi itu menang tanpa bertanding. Lebih-lebih lagi di Miri kita telah memberikan dua kerusi tradisi DAP untuk PKR, tetapi mereka tidak bertanding,” katanya.
Alan berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Ibu Pejabat DAP, di sini, pada Khamis.
Selain itu, ujarnya, DAP telah mengadakan mesyuarat pada Rabu bagi meneliti perkembangan terbaharu itu dan sedang mempertimbangkan langkah strategik untuk menentukan kerusi tambahan yang mungkin ditandingi.
Mengulas jumlah kerusi yang bakal ditandingi, beliau berkata parti itu tidak menolak kemungkinan menambah dua kerusi atau lebih daripada 12 kerusi yang diumumkan sebelum ini.
“Mungkin akan ada tambahan dua kerusi ataupun lebih,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan pertimbangan itu bukan hanya tertumpu kepada kawasan Miri, sebaliknya turut melibatkan beberapa kawasan lain.
Dalam pada itu, mengulas kemungkinan beliau sendiri bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Alan berkata perkara itu bergantung kepada keputusan parti.
Menurutnya, perancangan asal adalah untuk memberi tumpuan kepada DUN Pujut dan beliau sendiri secara sukarela mencadangkan seorang muka baharu sebagai calon di kawasan tersebut, yang kemudiannya diterima parti.
“Itu terpulang kepada parti. Saya sebagai ahli parti, seperti yang saya telah katakan pada Isnin semasa pengumuman. Untuk calon Pujut, ikut rancangan pertama kita, kita fokus Pujut saja.
"Saya juga secara sukarela mencadangkan seorang muka baharu untuk menjadi calon dan beliau diterima parti. Sebenarnya saya mahu memainkan peranan yang lain, bukannya berundur.
"Namun kerana kami tidak menjangkakan perkembangan terbaharu ini, iaitu perubahan pendirian secara tiba-tiba untuk tidak bertanding di dua kerusi tersebut, maka jika parti membuat keputusan untuk bertanding, saya mungkin antara calon yang boleh dipertimbangkan setakat ini.
"Bagaimanapun, hanya selepas watikah pelantikan dikeluarkan barulah kita boleh mengesahkan siapa yang akan bertanding kerana kita juga mempunyai calon-calon lain," katanya lagi.
Pada Selasa lalu, PKR Sarawak mengesahkan tidak akan bertanding pada PRN Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama politik dan persefahaman dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu dimuktamadkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak menerusi kenyataan media bertarikh 24 November, iaitu empat hari sebelum penamaan calon.