WASHINGTON: Presiden AS Joe Biden meluluskan sehingga AS$345 juta bantuan pertahanan kepada Taiwan, kata presiden itu dalam satu memorandum kepada Setiausaha Negara AS Antony Blinken pada Jumaat, lapor Sputnik.

"Saya dengan ini mewakilkan kepada Setiausaha Negara kuasa... untuk mengarahkan pengeluaran sehingga AS$345 juta artikel pertahanan dan perkhidmatan Jabatan Pertahanan, pendidikan dan latihan ketenteraan, sebagai bantuan kepada Taiwan," menurut memorandum itu.

Pentadbiran Biden telah berulang kali menyatakan bahawa ia berusaha untuk mengekalkan status quo merentasi Selat Taiwan dan tetap komited kepada perjanjian terdahulu antara Amerika Syarikat dan China mengenai Taiwan.

Bagaimanapun, bantuan itu menyusul di tengah-tengah ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, Beijing menentang pakej bantuan AS kepada Taiwan dan menyeru Washington untuk berhenti mewujudkan faktor yang boleh membawa kepada ketegangan, jurucakap kedutaan China di Washington, Liu Pengyu, memberitahu Sputnik."China tegas menentang hubungan ketenteraan ASdengan dan penjualan senjata ke Taiwan.

"Pendirian ini konsisten dan tidak berbelah bahagi. AS harus mematuhi prinsip satu China dan tiga pernyataan bersama China-AS, berhenti menjual senjata kepada Taiwan, berhenti mencipta faktor baharu yang boleh mencetuskan ketegangan di Selat Taiwan, dan berhenti mewujudkan risiko kepada keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan," kata jurucakap itu pada Jumaat.

--BERNAMA-SPUTNIK