LONDON: Individu terkaya di United Kingdom (UK), SP Hinduja menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun di ibu negara itu pada Rabu.

Pemergian ketua konglomerat Hinduja Group itu disahkan keluarganya.

Berasal dari India, SP Hinduja atau nama sebenarnya, Srichand P Hinduja dilaporkan mengalami demensia.

"Gopichand, Prakash, Ashok dan seluruh keluarga Hinduja dengan berat hati mengumumkan kematian SP Hinduja dengan tenang hari ini," kata keluarga beliau dalam kenyataan media yag dikeluarkan.

Keluarga Hinduja menduduki peringkat pertama dalam senarai orang terkaya yang dikeluarkan oleh Sunday Times pada 2022 setelah kekayaan kolektif mereka meningkat lebih daripada 11 bilion pound kepada 28.4 bilion pound sekali gus merekodkan kekayaan terbesar yang tercatat dalam lebih dari tiga dekad daftar tersebut.

Keluarga berkenaan juga memiliki hartanah bernilai jutaan pound di kota London termasuk Carlton House Terrace iaitu sebuah bangunan abad ke-18 seluas 67,000 kaki persegi yang terletak berdekatan Istana Buckingham serta bangunan bersejarah, Old War Office di Whitehall.

Hinduja Group menguasai kepentingan dalam sektor perbankan, kimia, perisian komputer, industri otomotif, minyak, media dan kesihatan.

Mendiang SP Hinduja dan adiknya, Gopichand membangunkan Hinduja Group daripada sebuah
perusahaan keluarga yang relatif kecil menjadi perusahaan yang besar dengan operasi menjangkau ke 38 buah negara dengan jumlah kakitangan syarikat itu mencecah 200,000 pekerja.

Syarikat berkenaan diasaskan pada 1914 oleh ayah SP Hinduja iaitu Parmanand Deepchand Hinduja yang pada asalnya menjual permaidani dan buah-buahan kering dari Iran.

Pada sekitar 1970-an, SP Hinduja dan adiknya, Gopichand memindahkan perniagaan mereka di England.

"SP Hinduja merupakan seorang tokoh perniagaan dan industri yang berwawasan… beliau juga seorang yang memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi serta pemurah dan sepanjang hayatnya beliau telah menyentuh banyak kehidupan orang lain dan kami sangat berterima kasih dengan waktu yang telah kami habiskan bersamanya,” ujar keluarga beliau lagi.