DUNIA
Blatter dan Platini akhirnya bebas, kes berdekad lamanya ditutup

Blatter (kanan) dan Platini sebelum ini didakwa atas kesalahan penipuan, penyelewengan, salah urus dan pemalsuan dokumen. - Gambar AP
GENEVA: Pendakwa raya awam Switzerland menutup kes kontroversi yang berlarutan selama sedekad melibatkan bayaran kepada bekas pegawai bola sepak, Joseph Blatter dan Michel Platini, sekali gus membebaskan mereka daripada sebarang tindakan mahkamah selanjutnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pejabat Peguam Negara negara itu pada Khamis berkata, ia tidak akan merayu pembebasan kali kedua Blatter dan Platini selepas mereka didakwa atas kesalahan penipuan, penyelewengan, salah urus dan pemalsuan dokumen.
"Dengan menerima keputusan yang dijatuhkan oleh mahkamah peringkat pertama dan mahkamah peringkat kedua mengikut prinsip keraguan memihak kepada tertuduh (in dubio pro reo), pejabat ini menutup satu lagi bab dalam siasatan kompleks terhadap bekas pegawai bola sepak itu," katanya.
Blatter, 89, dari Switzerland adalah Presiden badan induk bola sepak dunia, FIFA dari 1998 hingga 2015. Platini, 70, dari Perancis pula mengetuai badan bola sepak Eropah, UEFA, dari 2007 hingga 2015.Kes mahkamah ini berpusat pada bayaran 2 juta franc Switzerland (US$2.5 juta) yang diterima oleh Platini daripada FIFA pada 2010.
Mereka disingkirkan oleh FIFA atas pelanggaran peraturan etika berkaitan bayaran itu dan dihadapkan ke mahkamah.
Pendakwa raya mendakwa ia adalah sejenis rasuah dan meminta hukuman penjara tertunda selama setahun lapan bulan untuk kedua-dua lelaki itu.
Blatter dan Platini mempertahan diri dengan mengatakan ia adalah bayaran tertunda untuk kerja perundingan yang dilakukan oleh Platini untuk FIFA pada 1990-an.
Mereka berkata, perjanjian itu dimeterai dengan jabat tangan atau tanpa kontrak bertulis, yang di bawah undang-undang Switzerland dianggap sebagai kontrak yang sah.
Kedua-dua mereka dibebaskan buat kali pertama pada 2022 oleh sebuah mahkamah di Bellinzona. Pihak pendakwa raya merayu tetapi keputusan asal disahkan pada Mac 2025 oleh mahkamah di Muttenz dekat Basel.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami