Skip to main content

Dunia

Presiden Marcos jamin perkhidmatan kerajaan tidak terganggu di tengah-tengah kecemasan tenaga

81770108055_MARCOSJR.jpg
Marcos menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh memperlahankan atau menghentikan operasi, meskipun negara menghadapi tekanan luar. - Gambar fail

MANILA: Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. memberi jaminan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kerajaan akan diteruskan tanpa gangguan walaupun negara sedang berhadapan dengan kecemasan tenaga nasional, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Dalam hantaran vlog terbaharunya yang dikeluarkan pada Ahad, Marcos menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh memperlahankan atau menghentikan operasi, meskipun negara menghadapi tekanan luar terhadap bekalan dan harga bahan api yang berpunca daripada krisis Asia Barat.

Advertisement

Presiden berkata pentadbirannya kekal komited untuk menyampaikan perkhidmatan penting, termasuk infrastruktur, penjagaan kesihatan dan pendidikan, serta sokongan kepada atlet, pelancongan dan budaya, tanpa mengira cabaran yang dihadapi.

“Kami tidak akan membiarkan perkhidmatan kerajaan lumpuh, tidak kira apa jua masalah yang menanti di hadapan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengetengahkan program sedia ada, Marcos memaparkan inisiatif perumahan kerajaan, Program “Pambansang Pabahay para sa Pilipino”, yang bertujuan menangani tunggakan dalam sektor perumahan di negara itu.

Pada Khamis, Presiden melawat Projek Perbandaran Palayan City di Nueva Ecija, di mana beberapa bangunan kediaman di bawah program terbabit telah pun siap dan didiami.

Projek perbandaran seluas 23 hektar itu dijangka dapat menampung lebih 22,000 penerima manfaat apabila siap sepenuhnya, dengan menawarkan unit perumahan bertingkat serta kemudahan komuniti.

-- BERNAMA - PNA

Must Watch Video